KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil dengan hantaran ringkas di media sosial hari ini ketika gabungan itu berdepan bantahan MCA berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Don’t worry. All is well. Kita Geng Biru,” tulis beliau menerusi hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai maksud hantaran tersebut.
Hantaran itu dibuat ketika perhatian tertumpu kepada pertikaian antara MCA dengan kepimpinan BN Melaka berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN berkenaan.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama beberapa pemimpin parti itu bertindak meninggalkan majlis pengenalan calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Sabtu lalu.
Tindakan tersebut susulan rasa tidak puas hati MCA apabila kerusi yang pernah ditandingi parti itu didakwa diberikan kepada parti lain tanpa rundingan dan persetujuan sewajarnya.
MCA turut mengemukakan bantahan rasmi dan mendesak supaya rundingan pengagihan kerusi diadakan semula.
Semalam, Ka Siong menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk menyifatkan pertemuan dengan kepimpinan BN sebagai perkembangan positif seperti dinyatakan Ahmad Zahid.
Menurutnya, kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan bagi mencapai penyelesaian berhubung pertikaian berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan bahawa isu melibatkan parti komponen BN akan diselesaikan secara kekeluargaan dan semua parti dalam gabungan berkenaan tetap dihargai. – MYNEWSHUB


