MELAKA – DAP mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Melaka bagi mencabar kesahihan pindaan perlembagaan negeri yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka dalam tempoh hanya seminggu selepas kerajaan negeri menyiarkan Enakmen Pindaan berkenaan di laman web rasminya pada awal Oktober.
Menurutnya, beliau memfailkan tindakan mahkamah sebagai seorang pengundi berdaftar di Melaka bersama bekas ADUN Bukit Katil, Adly Zahari.
“Pagi ini, saya bersama empat bekas ADUN DAP dan dua orang peguam telah hadir ke Bangunan Seri Negeri Melaka untuk menyampaikan writ saman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri,” katanya menerusi hantaran media sosial hari ini.
Poay Tiong berkata, pindaan berkenaan membenarkan sehingga tujuh ADUN lantikan yang tidak dipilih melalui pilihan raya menyertai persidangan, jawatankuasa serta mengundi dengan kuasa perundangan yang pada hakikatnya setara dengan wakil rakyat yang dipilih.
Beliau menegaskan bahawa legitimasi demokrasi dalam Dewan Undangan Negeri mesti berasaskan mandat rakyat melalui peti undi.
“ADUN lantikan tidak mendapat mandat pilihan raya daripada pengundi dan tidak mewakili mana-mana kawasan pilihan raya, namun mereka boleh mempengaruhi keputusan perundangan serta imbangan politik Dewan,” katanya.
Menurutnya, persoalan sama ada pindaan berkenaan bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Negeri Melaka dan/atau Perlembagaan Persekutuan perlu diputuskan oleh mahkamah.
Beliau berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan nilai undi rakyat, mandat wakil rakyat yang dipilih serta hak rakyat menentukan hala tuju politik melalui pilihan raya.
“Undi rakyat mesti dihormati. Prinsip demokrasi tidak boleh dikompromi!” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Khoo Poay Tiong


