KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) menegaskan peningkatan berat badan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun bukan bukti bahawa kebajikan haiwan berkenaan terjamin.
Menerusi kenyataan media hari ini, pertubuhan itu mempersoalkan penjelasan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pada 22 Oktober lalu yang menekankan peningkatan berat badan serta kepelbagaian makanan diberikan kepada ketiga-tiga gajah tersebut.
“Sejak bila berat badan menjadi penentu kebajikan haiwan? Gajah ialah haiwan sosial yang amat kompleks, mempunyai keperluan fizikal, mental dan tingkah laku yang tidak boleh diringkaskan kepada jumlah berat atau senarai makanan,” menurut kenyataan itu.
Shelter Ihsan berkata, kebajikan gajah perlu dinilai berdasarkan ruang pergerakan, interaksi sosial, rangsangan mental, penjagaan kaki serta peluang melakukan tingkah laku semula jadi.
Pertubuhan itu turut mempersoalkan penjelasan MPT mengenai pergerakan kepala berulang atau head swaying yang dikaitkan dengan jangkaan makanan, selain fasa musth dialami Kelat yang dikaitkan dengan pemakanan bergizi.
Menurutnya, kedua-dua keadaan memerlukan penilaian saintifik dan veterinar menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Shelter Ihsan turut mengambil maklum penafian MPT berhubung dakwaan suntikan hormon terhadap Kelat, namun meminta pengesahan veterinar bebas bagi mengelakkan spekulasi.
Mengulas penempatan semula ketiga-tiga gajah bersama sejak 20 September lalu, pertubuhan itu menegaskan keberadaan dalam ruang sama tidak semestinya membuktikan keperluan sosial dan psikologi dipenuhi.
Sehubungan itu, Shelter Ihsan menggesa MPT melantik panel pakar bebas, menerbitkan laporan kebajikan menyeluruh, mendedahkan keadaan persekitaran dan rutin harian gajah serta menjelaskan objektif program konservasi di Jepun.
Pertubuhan itu juga mahu dialog profesional diadakan bersama pakar dan organisasi kebajikan haiwan.
“Mereka bukan barang pameran yang kebajikannya boleh disimpulkan melalui senarai makanan dan peningkatan berat badan,” tegasnya. – MYNEWSHUB


