PORT DICKSON – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadiri Upacara Pecah Tanah Pintu Gerbang Kampung Baru Tanah Merah Site A, hari ini.
Majlis berkenaan melibatkan pembinaan pintu gerbang Tokong Long Xing Gong di Kampung Baru Tanah Merah Site A yang terletak di kawasan Chuah, Port Dickson.
Aminuddin berkata, beliau turut menyempurnakan penyerahan sumbangan sebanyak RM8,000 menerusi Pejabat Parlimen Port Dickson bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan.
“Semoga pembinaan pintu gerbang ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan menjadi satu lagi simbol identiti serta kebanggaan masyarakat setempat, di samping menceriakan wajah Kg Baru Site A.
“Insya-Allah, usaha yang memberi manfaat kepada komuniti akan terus kita sokong demi kesejahteraan bersama,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye dan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa.
Sementara itu, Boon Lye dalam hantaran berasingan berkata, beliau berbesar hati dijemput menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pintu Gerbang Tokong Long Xing Gong Kampung Baru Tanah Merah Site A bersama Aminuddin.
Kata beliau, pembinaan pintu gerbang berkenaan menandakan satu lagi perkembangan baharu bagi Tokong Long Xing Gong selain menyumbang kepada usaha melestarikan warisan budaya masyarakat di kawasan Chuah.
“Semoga Tokong Long Xing Gong terus berkembang maju, serta masyarakat Kampung Baru Tanah Merah A sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun/Dato’ Yew Boon Lye


