AYER KEROH – Kira-kira 15,000 anak muda menghadiri program Santai Orang Melaka bersama pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Angka kehadiran itu dikongsikan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
“Full house! Bergegau MITC semalam.
“Sekitar 15 ribu orang kehadiran anak muda dalam program Santai Orang Melaka bersama Ustaz Azhar Idrus & Johan di MITC Ayer Keroh.
“Orang Melaka memang hebat! Tahniah semua!” katanya.
Program yang berlangsung pada Sabtu itu turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Dalam hantaran sama, Afnan turut menggunakan tanda pagar #MuafakatMelaka, #KitaBirukanMelaka, #PerikatanNasional dan #BarisanNasional.
Program berkenaan berlangsung ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang memasuki minggu kedua menjelang hari pengundian pada 14 November ini. – MYNEWSHUB


