SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings)
Azlizan Fadzil, 53, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM37.37 juta sembilan tahun lalu.
Beliau yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda mengaku tidak salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia selaku Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu wang RM37,374,612.68.
Wang tersebut diperuntukkan untuk pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Dia didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya melalui pelbagai pembayaran bagi tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, Menara Sultan Abdul Aziz Shah, antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB


