KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyediakan peruntukan bagi melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama sebagai langkah menangani masalah buli dan disiplin pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan sekiranya kerajaan mahu meneruskan sistem sekolah berasrama, selain bagi mengurangkan beban guru yang ketika ini turut diberikan tanggungjawab sebagai warden.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil kesempatan pada sidang Parlimen kali ini untuk memohon peruntukan khas berikutan kes buli dan jenayah yang berlaku di sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik warden sepenuh masa bekas tentera untuk kurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, pemberian elaun tambahan RM300 kepada guru yang menjalankan tugas sebagai warden dilihat tidak lagi memadai mengambil kira beban tugas hakiki mereka sebagai pendidik.
Katanya, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan guru melakukan pemantauan berterusan di asrama sepanjang masa, khususnya pada waktu yang dianggap berisiko.
Beliau berkata, dapatan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) selama enam bulan di empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang melaksanakan projek rintis pelantikan bekas tentera sebagai warden sepenuh masa turut menunjukkan keterbatasan guru dalam menggalas tanggungjawab berkenaan.
Menurutnya, hasil projek rintis itu mendapati pelantikan bekas tentera sebagai warden sepenuh masa mampu mengurangkan masalah disiplin dan menjadikan kes buli hampir sifar di empat MRSM terbabit sepanjang tempoh enam bulan.
Sehubungan itu, katanya, MARA bersedia berkongsi hasil kajian berkenaan dengan KPM atas dasar tanggungjawab bersama dalam menangani isu buli serta disiplin pelajar.
Asyraf Wajdi bagaimanapun menegaskan cadangan itu tidak menafikan faktor lain yang turut memainkan peranan dalam pembentukan nilai, akhlak dan disiplin pelajar termasuk peranan ibu bapa, media serta isu kesihatan mental.
Katanya, usaha menangani masalah buli memerlukan penglibatan semua pihak selaras dengan pepatah Inggeris, “It takes a village to raise a child”. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


