SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan mengingatkan semua pihak supaya tidak membicarakan kemelut institusi dan pentadbiran negeri ketika ini tanpa melihat rentetan peristiwa yang didakwanya bermula sejak pentadbiran terdahulu.
Ketua Penerangannya, Muhammad Sufian Maradzi berkata, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah peristiwa 17 April 2026 membabitkan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong yang dikatakan diputuskan secara kolektif melalui Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Menurutnya, keputusan itu kemudiannya dipertikaikan pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU bertarikh 17 April 2026.
“Jika rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Sufian berkata, tidak wajar kesan kemelut semasa dibicarakan tanpa mengakui bagaimana pertikaian berkenaan bermula.
“Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.
Beliau mendakwa pertikaian itu antara faktor yang menyebabkan UMNO/BN hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, sambil menegaskan pendirian berkenaan bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan.
“Apabila penyelesaian politik tidak dicapai, beliau (Aminuddin) sendiri yang memilih DUN untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat. Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri sekarang perlu diberikan ruang menyelesaikan kemelut berkenaan secara tertib dan berperlembagaan, khususnya apabila ia melibatkan institusi diraja, adat serta struktur pemerintahan Negeri Sembilan.
Muhammad Sufian turut menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan melihat semula persoalan mengenai dokumen yang menjadi asas pertikaian dan tidak memilih hanya sebahagian daripada rentetan peristiwa berdasarkan kepentingan politik semasa.
Katanya, kerajaan negeri kini memikul tanggungjawab menyelesaikan kemelut tersebut dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah serta bidang kuasa institusi yang sah. – MYNEWSHUB


