KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim meluahkan rasa sedih melihat pemimpin Melayu terus bertelagah mengenai soal kerusi serta pembahagian kuasa ketika terdapat isu lebih besar membabitkan masa depan negara.
Menerusi hantaran di media sosial, Mohd Zaid berkata, pertelingkahan mengenai perkara yang disifatkannya kecil hanya memperlihatkan sikap mementingkan diri ketika rakyat sepatutnya memberi perhatian kepada perkembangan geopolitik dan pengaruh asing.
“Mungkin saya sudah tua, tetapi saya sedih melihat pemimpin-pemimpin Melayu dan rakyat Malaysia yang tidak begitu patriotik mementingkan diri sendiri bertelagah mengenai perkara-perkara kecil: tentang kerusi dan bagaimana mahu membahagi-bahagikan kuasa,” katanya.
Dalam hantaran sama, Mohd Zaid mengingatkan pemimpin Melayu mengenai kenyataan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining berhubung penglibatan organisasi itu dengan parti pembangkang di Malaysia.
Twining pada 2018 dilaporkan berkata IRI telah bekerjasama untuk “mengukuhkan” parti pembangkang Malaysia sejak 2002 menggunakan sumber National Endowment for Democracy (NED)
Justeru, Mohd Zaid berpandangan masih belum terlambat untuk rakyat mengambil serius perkembangan tersebut dan mempertahankan kepentingan negara.
Beliau turut membangkitkan tentang model demokrasi AS dengan mendakwa Presiden boleh memberitahu Peguam Negara supaya menutup fail Epstein dan menentukan apa yang perlu dilakukan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Datuk Zaid Ibrahim


