JOHOR BAHRU – Pasukan Royal Johor akan menentang Temasek pada aksi kemuncak perlawanan akhir Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 di Padang Polo DiRaja, Istana Pasir Pelangi di sini esok.
Aksi berkenaan dijangka menyajikan pertembungan sengit barisan pemain antarabangsa berprofil tinggi dengan Temasek dipimpin oleh pemain berkaliber dunia, Ignatius “Nachí” Du Plessis
Terdahulu, Royal Johor diketuai Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan slot ke aksi final JSCPT 2026 selepas mencatatkan kemenangan 9-5 ke atas JCorp dalam aksi separuh akhir petang semalam.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Royal Johor pada laluan terbaik untuk memburu gelaran juara sulung kejohanan gred tinggi (22-goal handicap) berkenaan.
Aksi pada separuh akhir tersebut turut memperlihatkan Tunku Mahkota Ismail yang mula beraksi pada Chukka 4 menyumbang tiga daripada sembilan jaringan keseluruhan buat Royal Johor.
Percaturan taktikal Royal Johor yang turut dibarisi bintang polo dunia, Pablo “Polito” Pieres sukar ditandingi oleh skuad JCorp sepanjang saingan sekali gus meneruskan rentak penguasaan konsisten mereka dalam kejohanan paling berprestij itu.
Penganjuran JSCPT 2026 melakar sejarah tersendiri dalam meletakkan Johor di peta sukan elit antarabangsa dengan menampilkan pemain-pemain yang pernah beraksi di kejohanan berprestij dunia seperti Argentine Open. – MYNEWSHUB


