KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan pihak yang sering mendakwa rakyat terpaksa menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan merujuk kenyataan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhubung jumlah aset yang berjaya dipulihkan.
Menerusi hantaran di media sosial, Muhamad Akmal secara sinis meminta pihak yang selama ini membuat dakwaan berkenaan supaya mengambil tindakan terhadap Muhammad Shafee sekiranya berpandangan kenyataan peguam itu tidak benar.
“Kepada siapa yang selalu cakap rakyat terpaksa bayar hutang 1MDB, tolong saman peguam ini. Kerana apa yang diperkatakan oleh peguam ni di mahkamah, tidak sama dengan apa yang kamu semua sembang selama ni,” katanya.
Muhamad Akmal merujuk kenyataan Muhammad Shafee bahawa aset berkaitan 1MDB bernilai RM31.3 bilion telah berjaya dipulihkan, melebihi RM24 bilion yang dituntut 1MDB dalam prosiding saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Media pada 4 Ogos lalu melaporkan Muhammad Shafee turut mendakwa sekiranya aset-aset 1MDB yang lain dijual, sebanyak RM40 bilion lagi boleh diperoleh sehingga menjadikan jumlah keseluruhan RM71 bilion.
Kenyataan itu dibuat kepada pihak media selepas prosiding saman sivil 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Muhammad Shafee mendakwa, perkara itu yang pada awalnya dirahsiakan, namun didedahkan selepas pasukan peguam yang mewakili bekas perdana menteri melakukan beberapa permohonan.
*Jika aset-aset 1MDB dijual, syarikat itu akan memperolehi tambahan sebanyak RM40 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM71 bilion. Jadi siapa kata 1MDB bankrap dan tiada wang?
“Apa yang saya ingin tekankan ialah mereka cuba mendapatkan semula (pemulihan aset), walhal mereka (1MDB) telah ada lebih daripada itu ,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kata Muhammad Shafee, perkara berkaitan pemulihan aset itu ditanyakan kepada saksi 1MDB, Richard Templeman yang juga penyiasat kewangan antarabangsa pada perbicaraan tersebut, namun saksi berkenaan menyatakan tidak begitu arif berkaitan isu pemulihan aset.
“Saya tidak faham mengapa mereka masih memainkan isu yang sama iaitu Najib perlu membayar hutang 1MDB,” ujar beliau. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


