JOHOR BAHRU – Kemenangan PAS dalam pilihan raya dan pertambahan jumlah kerusi tidak semestinya membawa maksud Islam turut mencapai kemenangan.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ukuran kejayaan sebuah parti yang membawa jenama Islam tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi.
Sebaliknya, katanya, persoalan lebih besar sejauh mana rakyat Malaysia termasuk masyarakat bukan Islam mempunyai keyakinan terhadap pendekatan Islam yang dibawa PAS.
“Adakah audiens PAS untuk Melayu-Islam sahaja? Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan bukan Islam?
“Adakah mereka melihat Islam sebagai payung untuk semua? Atau mereka melihatnya sebagai kuasa majoriti yang akan memaksakan semua?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sheikh Umar berkata, PAS perlu kembali kepada semangat wasatiyyah yang menurutnya pernah menjadi antara pendekatan utama bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita tidak menafikan pencapaian parti PAS hari ini. Namun jangan sampai kita lupa bahawa perjuangan Islam juga mempunyai dimensi akhlak, hikmah, rahmah dan keadilan,” katanya.
Terdahulu, Sheikh Umar membandingkan pendekatan PAS ketika era Nik Abdul Aziz dengan kepimpinan parti itu hari ini.
Beliau mendakwa pendekatan politik PAS hari ini berbeza di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berpandangan PAS kini lebih menekankan politik identiti, termasuk politik Melayu-Islam dan agenda penyatuan ummah.
“Hari ini politik PAS lebih cenderung menggembeling kekuatan politiknya bernuansa perkauman,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali

