PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Nazifuddin Najib berhubung taksiran cukai yang dikenakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Peguam mereka, Farhan Shafee berkata, keputusan itu penting kerana dua taksiran cukai yang menjadi asas kepada prosiding kebankrapan berkenaan masih belum diputuskan berdasarkan merit oleh mana-mana mahkamah.
Menurut beliau, di bawah sistem percukaian sedia ada, taksiran yang dikeluarkan LHDN boleh dikuatkuasakan terlebih dahulu menerusi prinsip yang sering digambarkan sebagai “bayar dahulu, pertikai kemudian”.
Bagaimanapun, katanya, persoalan sama ada jumlah cukai yang ditaksir terhadap Najib dan Nazifuddin adalah tepat masih belum diputuskan oleh forum berkaitan iaitu Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
“Mahkamah Rayuan menjelaskan bahawa kedua-dua taksiran itu belum muktamad dari segi merit dan masih tertakluk kepada penentuan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan,” katanya.
Menurut Farhan, Mahkamah Rayuan turut mengiktiraf terdapat beberapa isu baharu dan penting dari sudut undang-undang yang perlu diputuskan terlebih dahulu.
Beliau berkata, perkara itu penting memandangkan kebankrapan membawa implikasi serius dan boleh mengakibatkan kesan yang sukar dipulihkan sekiranya prosiding diteruskan sebelum pertikaian mengenai merit taksiran cukai diselesaikan.
Justeru, katanya, selepas mengambil kira kepentingan serta keseimbangan keadilan, Mahkamah Rayuan bersetuju prosiding kebankrapan ditangguhkan sementara menunggu prosiding di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan selesai dan merit taksiran cukai berkenaan diputuskan.
Farhan menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu “keputusan terobosan” yang membantu mengimbangi kepentingan pihak berkuasa hasil dengan hak pembayar cukai, khususnya dalam kes membabitkan persoalan undang-undang baharu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rahman Hasnah



