KUALA LUMPUR – Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia BERSAMA mengecam penahanan Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew, sambil menuntut kerajaan mendedahkan segera asas tindakan terhadap kedua-duanya.
Amir dan Chew dilaporkan ditahan pada Selasa selepas hadir memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)
Dalam kenyataan hari ini, BERSAMA mempersoalkan penggunaan AMLA terhadap dua aktivis berkenaan dan mendakwa tindakan itu berisiko mewujudkan duluan yang boleh menyempitkan ruang masyarakat sivil.
Menurut kumpulan itu, pihak berkuasa perlu menjelaskan secara terbuka sifat kesalahan yang sedang disiasat serta asas atau bukti yang digunakan bagi tindakan terhadap Amir dan Chew.
BERSAMA turut menuntut kedua-duanya dibebaskan sementara menunggu pihak berkuasa mengemukakan bukti yang kukuh bagi menyokong dakwaan terhadap mereka.
Pada masa sama, kumpulan berkenaan menggesa proses undang-undang yang adil dipastikan, termasuk memberikan akses kepada peguam, keluarga serta rawatan perubatan sekiranya diperlukan.
BERSAMA juga mendakwa undang-undang berkaitan pengubahan wang haram dan keselamatan tidak sepatutnya digunakan sebagai instrumen untuk mengganggu pembela hak asasi manusia atau aktivis masyarakat sivil.
Kumpulan itu seterusnya menggesa Kerajaan Madani melaksanakan agenda reformasi, termasuk memastikan undang-undang tidak disalahgunakan untuk menyekat pengkritik kerajaan.
BERSAMA berkata sebarang tindakan yang menyekat kebebasan seseorang perlu mempunyai alasan yang jelas, sah di sisi undang-undang dan boleh dijelaskan kepada masyarakat.
Kumpulan berkenaan turut menyeru organisasi masyarakat sivil, Ahli Parlimen, mahasiswa dan rakyat Malaysia supaya menuntut ketelusan serta kebertanggungjawaban berhubung kes tersebut.
Kenyataan bertarikh 23 September 2026 itu dikeluarkan oleh Wong Chen, Ng Yap Hwa, Faizal Rahman, Lau Yi Leong, Seah Jhen Pei, Rabiatul Adawiyah Sulaiman dan Wong Ivan – MYNEWSHUB


