KUALA LUMPUR – PAS dan UMNO diingatkan supaya tidak tamak dalam soal pembahagian kerusi sekiranya benar-benar mahu menjayakan kerjasama politik demi penyatuan ummah.
Pendakwah yang juga penganalisis politik, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, soal kerusi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama antara kedua-dua parti Melayu-Islam itu.
Beliau memetik pesanan Allahyarham Subky Latif bahawa sesebuah parti tidak seharusnya menganggap sesuatu kerusi sebagai hak mutlaknya meskipun kerusi berkenaan pernah dimiliki parti tersebut.
“Almarhum Subky Latif ada pesan, dalam politik, kalau nak berkuasa, jangan tamak kerusi, walaupun kerusi itu asalnya milik kita kerana ia tidak mutlak.
“Kerjasamalah wahai PAS-UMNO demi Islam. Ingat, ultra kiasu musuh sebenar?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kenyataan Mohd Ridhuan Tee itu hadir ketika perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama lebih erat antara UMNO dan PAS masih menimbulkan persoalan.
Semalam, Mynewshub menerusi rencana bertajuk “UMNO-PAS Jangan Kecewakan Orang Melayu Lagi” turut mengkritik keadaan apabila usaha penyatuan ummah dilaungkan tetapi soal kerusi mula menjadi pertikaian antara kedua-dua parti.
Rencana itu antara lain berpandangan UMNO dan PAS perlu mengetepikan ego serta kepentingan parti masing-masing, selain segera mencari satu formula rasmi pembahagian kerusi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Ia turut menegaskan penyatuan ummah perlu diterjemahkan melalui tindakan dan kompromi, bukannya sekadar slogan politik, supaya orang Melayu tidak sekali lagi kecewa dengan usaha menyatukan kedua-dua parti berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohd Ridhuan Tee Abdullah


