SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai pendekatan baharu bagi mendekati, mendengar, membantu serta memperkasa rakyat menerusi ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, mampan dan inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Hashim berkata, MANES memberi tumpuan kepada pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga menerusi lima inisiatif utama.
Menurutnya, lima inisiatif berkenaan adalah MANES @ Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES @ DulT Je!
“MANES @ Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih dekat melalui penempatan pegawai di setiap DUN, manakala Kembara Kasih MANES pula membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka.
“MANES Prihatin menggunakan pendekatan door to door, MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga, manakala MANES @ DulT Je! memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan, malah dibekalkan ruang dan sokongan untuk menjadi lebih berdikari.
“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak RM532,704 bantuan disampaikan bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat, dengan RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme.
Baki RM193,704 pula disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).
Siti Nur Umaira berkata, bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan serta organisasi yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.
“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kuat, masyarakat akan lebih sejahtera.
“Itulah asas MANES, kerajaan yang mendengar, turun padang, prihatin dan memperkasa rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


