JOHOR Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 bukan sekadar gelanggang memburu kejuaraan dalam kalangan pemain elit dunia.
Di sebalik aksi pemain dan kuda terbaik dunia, penganjuran kejohanan berprestij itu membuka pintu lebih besar kepada Johor.
Potensi pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit seperti dititahkan sendiri oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pandangan itu juga selari dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung JSCPT 2026.
Menurut beliau JSCPT menjadi platform penting memperkenalkan Johor secara lebih meluas kepada masyarakat antarabangsa.
Pada masa sama membuktikan kemampuan, kemudahan dan keyakinan Johor menjadi tuan rumah acara berprestij dunia.
Dalam dunia pelaburan, hubungan dan keyakinan memainkan peranan besar. Apabila tumpuan antarabangsa terarah kepada Johor, mereka bukan sekadar menonton polo.
Mereka berpeluang melihat pembangunan negeri, infrastrukturnya, potensi ekonominya serta peluang perniagaan.
Dengan demikian, acara antarabangsa seperti JSCPT membawa bersama bukan sahaja pemain polo elit.
Malah individu ternama, berpengaruh, pemimpin industri dan kelompok berkemampuan tinggi yang meminati Polo.
Sekali gus berpotensi bertukar menjadi pelabur serta rakan strategik buat Johor. Strategi serampang dua mata.
Lebih menarik, JSCPT 2026 turut menerima pujian pemain polo antarabangsa yang melihat Johor mempunyai potensi besar dalam perkembangan sukan berkenaan.
Pengiktirafan sebegini memberi nilai tambahan kepada penjenamaan Johor kerana nama negeri turut dibawa sebagai destinasi pelaburan.
Sebab itu nilai JSCPT tidak wajar dihitung berdasarkan apa yang berlaku di padang semata-mata.
Jika penganjurannya mampu membawa tumpuan dunia kepada Johor, memperluas jaringan antarabangsa dan akhirnya membuka jalan kepada pelaburan ratusan bilion ringgit.
Maka setiap pukulan bola di gelanggang polo itu sebenarnya boleh membawa nilai jauh lebih besar kepada negeri dan rakyat Johor. – MYNEWSHUB


