MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari menyindir perubahan pendekatan sesetengah pihak yang menurutnya dahulu begitu taksub dalam soal penampilan, tetapi kini sudah semakin berubah mengikut keadaan.
Dalam ucapannya pada satu majlis Parti Amanah Negara (Amanah), Adly secara berseloroh berkata, pihak berkenaan kini sudah pandai memakai tanjak sedangkan suatu ketika dahulu pemakaian tertentu dianggap tidak sesuai.
“Dia pakai tanjak apa semua tu. Dia dah pandai. Kalau dulu tu haram tu,” katanya disambut ketawa hadirin.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pada suatu ketika dahulu pemakaian kopiah hitam juga bukan sesuatu yang mudah diterima dalam kalangan kelompok berkenaan.
Beliau turut mengimbau Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menurutnya pernah berdepan keadaan sedemikian.
“Saya ingat lagi arwah saudara Salahuddin Ayub. Nak pakai kopiah hitam pun tak mudah,” katanya.
Adly berkata, keadaan itu menunjukkan betapa kuatnya ketaksuban pemikiran pada suatu ketika sehingga pelbagai usaha kebajikan dan peluang kepada anak muda juga boleh diketepikan atas pertimbangan kaum.
Katanya, keadaan menjadi lebih rumit apabila hujah berkaitan kaum kemudiannya dibalut pula dengan hujah agama termasuk membawa soal “perpaduan ummah” seolah-olah masyarakat Islam tidak bersatu.
Beliau menegaskan agama mempunyai asas yang cukup kuat dan perbezaan politik tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat terus berbalah sesama sendiri.
“Jangan berbalah kerana kamu parti. Yang kita beza macam mana menguruskan negara kita. Yang kita beza macam mana kita nak jadi pemimpin yang lebih baik bila kita ada kuasa,” katanya.
Adly pada masa sama mengakui pihaknya juga bukan sempurna, namun perbezaan politik sewajarnya tertumpu kepada soal pentadbiran dan bagaimana kuasa digunakan untuk memberikan kepimpinan lebih baik kepada rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Adly Zahari

