KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) kini mempunyai sebab untuk mempertimbangkan penarikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan perkembangan membabitkan kemelut di Negeri Sembilan serta isu surat pengampunan diraja kepada Datuk Seri Najib Tun Abul Razak.
Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan berkata, perkembangan terbaharu membabitkan kenyataan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kemelut Negeri Sembilan sepatutnya menjadi titik yang tidak lagi boleh dikompromi oleh BN.
Menurutnya, UMNO dan BN tidak seharusnya menerima sebarang keadaan yang disifatkannya sebagai mencabuli atau memperkotak-katikkan Perlembagaan negeri, khususnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS)
“Campur tangan kerajaan pusat melalui kenyataan PMX, AGC dan tindakan KDN terhadap apa yang berlaku di Negeri Sembilan sepatutnya merupakan ‘the straw that broke the camel’s back’.
“BN tidak sesekali boleh menerima keadaan ini apabila Perlembagaan khususnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (Adat) dilanggar dan diperkotak-katikkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Azrul turut membangkitkan isu surat pengampunan diraja berkaitan Najib dengan mendakwa dokumen berkenaan sepatutnya diberikan kepada pihak penjara dan bekas Perdana Menteri itu sendiri.
Justeru, beliau mendesak UMNO mengambil langkah tegas dengan menarik sokongan biarpun tindakan sedemikian mempunyai implikasi terhadap kedudukan kerajaan semasa.
“Dosa ini hanya boleh ditebus oleh UMNO itu sendiri dengan menarik sokongan terhadap PMX,” katanya.
Azrul turut mendakwa keadaan semasa merupakan harga yang perlu ditanggung UMNO selepas bersetuju menyokong Anwar dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Beliau mencadangkan BN membawa pendirian bahawa sokongan kepada kerajaan akan ditarik sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Bawalah kempen BN akan tarik sokongan jika menang di Melaka kerana keadaan sekarang betul-betul memerlukan. Jadilah pahlawan yang berani bagaikan Hang Tuah moden.
“Insya-Allah, setelah terbubarnya Parlimen, Allah SWT akan bersama kita yang mahu melawan kebatilan melalui Perpaduan Ummah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


