KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO perlu memastikan parti itu terus relevan dan mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu, seiring dengan perubahan landskap politik serta pemikiran golongan muda.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, parti perlu berani membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ dengan lebih luas, termasuk mendengar pandangan generasi muda dan memberi ruang kepada bakat baharu.
“Tugas besar Pemuda hari ini ialah memastikan UMNO kekal relevan dan mendapat tempat dalam hati generasi baharu.
“Untuk itu, kita mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini dengan lebih luas, mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam UMNO, anak muda bukan sekadar pelengkap, tetapi pewaris perjuangan,” katanya menerusi hantaran di media sosial sempena ulang tahun ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri mempelajari erti perjuangan, mengenali denyut nadi akar umbi serta memahami tanggungjawab dalam parti menerusi Pemuda UMNO.
“Daripada kilang Pemuda UMNO inilah saya belajar erti perjuangan, mengenali denyut nadi akar umbi dan memahami bahawa menjadi Pemuda bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi bersedia memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian,” katanya.
Menurut beliau, zaman dan medan perjuangan kini telah berubah apabila Pemuda UMNO berdepan dengan dunia yang bergerak pantas, perkembangan teknologi, perubahan cara berfikir serta suara generasi muda yang semakin pelbagai.
Justeru, katanya, keberanian semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya perlu dipandu oleh kebijaksanaan dan ilmu serta diterjemahkan melalui idea dan tindakan yang selaras dengan perkembangan semasa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.
Muhamad Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh keluarga besar sayap berkenaan di setiap peringkat.
Beliau meminta Pemuda UMNO terus mendekati golongan muda dengan menggunakan bahasa mereka, memahami keresahan yang dihadapi serta membawa aspirasi golongan berkenaan ke dalam perjuangan parti.
“77 tahun bukan sekadar angka. Ia merupakan himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekalan untuk melangkah lebih jauh.
“Semoga Pemuda UMNO terus menjadi wadah lahirnya keberanian yang berteraskan kebijaksanaan, idealisme yang berpijak di bumi nyata dan pemimpin yang bersedia memikul amanah masa hadapan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


