SHAH ALAM – Akar umbi UMNO perlu terus bersuara bagi memastikan pandangan mereka didengari kepimpinan parti, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan.
Beliau berkata, akar umbi tidak seharusnya hanya menunggu keputusan kepimpinan, sebaliknya perlu menyuarakan pandangan supaya kepimpinan mengetahui apa yang ingin disampaikan.
“Kita bukanlah seperti mereka yang hanya tunggu sahaja keputusan kepimpinan. Kita perlu bersuara supaya kepimpinan dengar apa yang kita sampaikan.
“Jika kepimpinan gagal mendengar dan membuat kesilapan, itu tandanya mereka tidak layak lagi memimpin kita. Pemimpin yang bagus adalah mereka yang mendengar cadangan rasional dan benar oleh akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Azrul berkata, sebagai contoh, sekiranya Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka masih mahu bersama Pakatan Harapan (PH), akar umbi perlu memberikan nasihat dan menyuarakan rasa tidak selesa terhadap kerjasama berkenaan.
“Janganlah kita letakkan kepimpinan sebagai Tuhan. Mereka sudah tentulah manusia biasa yang pasti boleh lakukan kesilapan. Adalah menjadi tanggungjawab kita akar umbi untuk bersuara supaya kepimpinan dapat dengar denyut nadi akar umbi dan rakyat,” katanya.
Menurut Azrul, antara perkara yang disifatkannya sebagai kesilapan besar kepimpinan adalah mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Sebagai contoh, adalah menjadi kesilapan besar kepimpinan mengangkat TS Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Jika Presiden kita sendiri jadi PM ketika itu, Perikatan Nasional dan perpecahan dalam UMNO dan dengan PAS takkan berlaku.
“Juga kesilapan besar membiarkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM ke-9 dengan alasan UMNO perlu jadi Perdana Menteri sebelum PRU. Padahal kita pun sudah tahu beliau tidak boleh dipercayai dan bukanlah orang yang bersama parti kita pada ketika itu. Kan elok kala Presiden kita yang jadi Perdana Menteri?” katanya.
Azrul turut menyifatkan keputusan mempercayai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri sebagai satu lagi kesilapan.
“Akhir sekali, adalah dengan mempercayai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan angkat beliau jadi Perdana Menteri. Dalam mereka datang kepada kita untuk minta jadi Perdana Menteri, kita boleh demand macam-macam termasuk dalam usaha kita betulkan pendakwaan terpilih yang dihadapi pemimpin besar kita Datuk Seri Najib.
“Malah, tak salah BN yang ada 30 pun jadi Perdana Menteri sebab sebelum ini Dr Mahathir yang ada sokongan 13 kerusi pun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa akar umbi UMNO terus menggunakan ruang yang ada termasuk media sosial untuk menyampaikan pandangan sekiranya saluran di peringkat cawangan dan bahagian sudah digunakan.
“Maka, teruskanlah bersuara wahai akar umbi. Gunakan platform media sosial jika sudah menggunakan cawangan dan bahagian. Paling penting, desakan dan cadangan perlu dilakukan dengan adab,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


