JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal mengetuai pasukan Royal Johor pada kejohanan polo berprestij antarabangsa Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 yang berlangsung dari 1 hingga 6 September ini.
Kejohanan yang berlangsung di Padang Polo DiRaja, Istana Pasir Pelangi itu dikategorikan sebagai kejohanan elit berstatus 22 jaringan (22-goal handicap)
Menurut hantaran The Royal Johor, penganjuran JSCPT 2026 mencatatkan sejarah sebagai kejohanan polo terbesar dan berprestij tinggi yang pernah dianjurkan di Malaysia.
“Lebih istimewa, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bakal turun beraksi memimpin pasukan Royal Johor.
“Penglibatan Pemangku Sultan Johor ini menjadi simbolik penyambung legasi tradisi polo Kesultanan Johor yang terbina lama,” menurut hantaran itu.
The Royal Johor berkata, hubungan antara Kesultanan Johor dengan sukan polo mempunyai salasilah sejarah yang sangat mendalam.
“Kecemerlangan Kerabat Diraja Johor dalam sukan itu berteraskan prinsip yang ditekankan sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar lagi”
Menurut The Royal Johor, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga merupakan seorang penunggang dan pemain polo profesional sejak usia muda.
“Seri Paduka Baginda pernah menyertai perlawanan di Singapura, Manila dan Hong Kong, selain pertandingan jemputan bersama Kerabat Diraja England.
“Jejak kegemilangan itu kemudiannya diteruskan Tunku Mahkota Ismail yang cekap bermain polo seawal usia lapan tahun serta aktif menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara,” kata hantaran tersebut.
Tambah hantaran tersebut, ketika menjalani latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), kehebatan permainan Tunku Mahkota Ismail menyerlah apabila membantu pasukan polo Rejimen 61st Cavalry di India memenangi 13 trofi kejuaraan dalam tempoh setahun sahaja.
Jelas hantaran berkenaan, Tunku Mahkota Ismail kini sebaris pemain handalan dunia dalam pasukan Royal Johor Polo Club bersama adindanya, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dalam pasukan Johor-Ellerstina.
“Pasukan berkenaan memiliki handicap tinggi yang membolehkannya menyertai kejohanan polo berprestij dunia. JSCPT 2026 merupakan ilham Tunku Mahkota Ismail dengan membawa kempen rasmi “Legacy In Motion” yang menterjemahkan warisan Istana Johor kepada kecemerlangan sukan antarabangsa.
“Kejohanan ini bakal menghimpunkan lima pasukan elit yang dibintangi nama-nama gergasi polo dunia termasuk beberapa juara Argentine Open.
“Lebih 500 tetamu kenamaan dijangka hadir bagi menyaksikan kejohanan ini,” menurut The Royal Johor.
Kata hantaran itu lagi, bagi memastikan peminat polo di seluruh dunia tidak ketinggalan, JSCPT 2026 akan disiarkan secara langsung di platform digital global secara percuma menerusi PoloLine.TV. – MYNEWSHUB


