KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiket Madani untuk pemegang MyKad bagi menyaksikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia pada Oktober ini serendah RM200.
Menurut Anwar, beberapa minggu lalu beliau memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan penjualan Tiket Madani sempena acara berkenaan.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, Kerajaan sukacita mengumumkan Tiket Madani khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai penjualan tiket berkenaan akan diumumkan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat.
“Insya-Allah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


