KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menolak tanggapan bahawa gelombang biru dan hijau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan kesan negatif politik identiti.
Menurut beliau, dakwaan sedemikian dibuat oleh pihak yang kalah, sedangkan semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH) turut mengamalkan politik identiti.
“Gelombang biru/hijau di Negeri Sembilan menunjukkan kesan negatif politik identiti, begitulah dakwaan pihak yang kalah. Alangkah dangkalnya kenyataan itu,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau berkata, PH selama ini turut mempertahankan sekolah Cina, bahasa, perniagaan dan kampung baharu, selain memperlekehkan identiti pihak lawan.
“Bukankah jenama mereka sebagai penyelamat masyarakat Cina merupakan identiti mereka yang tersendiri?” katanya.
Zaid turut mempersoalkan mengapa apabila orang Melayu memperjuangkan sejarah, bangsa atau agama mereka, ia dianggap negatif atau mengundur ke belakang.
“Mengapa satu identiti lebih baik daripada yang lain? Mengapa satu identiti dianggap kurang berbahaya berbanding yang lain?” katanya.
Beliau berpandangan politik identiti perlu diterima sebagai sesuatu yang normal dan semua pihak perlu menghormati identiti yang berbeza tanpa bersikap hipokrit.
“Dengan cara itu PH mempunyai peluang untuk berkongsi kuasa. Jika mereka terus dengan kesombongan mereka, mereka akan terus menjerit dari tepi gelanggang.”
Dalam masa sama, beliau berharap wacana politik negara dapat memberi lebih tumpuan kepada isu-isu yang lebih relevan berbanding pertikaian berasaskan identiti.
Zaid juga melahirkan rasa kecewa apabila terdapat pengulas Melayu yang menyamakan politik identiti dengan perkauman atau politik Melayu yang bersifat rasis.
“Hakikatnya tidak. Politik identiti ialah isu-isu yang kita himpunkan bersama untuk mencapai matlamat sosial dan politik kita. Politik identiti boleh merangkumi apa sahaja,” katanya. MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Datuk Zaid Ibrahim


