KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa muafakat antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bukan berasaskan politik identiti, sebaliknya membawa semangat kesepakatan nasional.
Beliau berkata, muafakat yang dibentuk itu melibatkan 10 parti daripada pelbagai kaum selain beberapa parti yang menjadi rakan kepada BN dan PN.
“Muafakat PN-BN bukan muafakat satu kaum. Ia melibatkan 10 parti berbagai kaum dan beberapa parti ‘friends of BN/PN’. Apa identitinya? Ia beridentiti nasional,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Annuar berkata, Pakatan Harapan (PH) akan terus mengalami kekalahan sekiranya masih gagal menerima hakikat keputusan pilihan raya dan terus mencari alasan.
“Selagi PH terus mencari alasan atas kekalahan mereka, dan gagal berdamai dengan diri sendiri, mereka akan terus menerima kekalahan demi kekalahan,” katanya.
Menurut beliau, pihak yang terus menghidupkan semangat politik muafakat berasaskan konsep taawun dan taayush akan memperoleh kekuatan serta kemenangan.
“Sementara pihak yang terus berusaha menghidupkan politik muafakat dan ‘taawun, taayush’, mereka akan beroleh kekuatan dan kemenangan,” katanya. – MYNEWSHUB

![[TIDAK RASMI] BN-PN Peroleh Majoriti 2/3 Untuk Bentuk Kerajaan Negeri Sembilan](https://www.mynewshub.tv/wp-content/uploads/2026/08/IMG_20260801_191524-350x250.jpg)
