MELAKA – Lebih 15,000 umat Islam membanjiri Dataran 1Malaysia, Klebang bagi menjayakan program Malam Melaka Berselawat yang dipimpin pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf, malam tadi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program penuh penghayatan itu berlangsung dalam suasana penuh kesyahduan apabila ribuan jemaah bersama-sama mengalunkan selawat dan puji-pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam serta barisan kepimpinan kerajaan Melaka.
“Melaka Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan tetapi membawa satu pengertian bahawa kemajuan yang dibina mesti mempunyai nilai, keamanan yang dinikmati mesti ada rasa syukur dan kebebasan yang diwarisi mesti dipelihara dengan penuh amanah.
“Inilah semangat yang mahu kita terus bawakan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus memperluas pelbagai program serta pengisian keagamaan sebagai usaha menyuburkan penghayatan Islam dalam kehidupan masyarakat.
Katanya, usaha itu juga bertujuan memperkukuh syiar Islam selain memastikan nilai-nilai murni terus hidup dan diamalkan dalam kalangan masyarakat di negeri berkenaan.
Program Melaka Berselawat itu menjadi antara pengisian keagamaan yang menghimpunkan umat Islam dalam jumlah besar bagi bersama-sama menghayati selawat dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ab Rauf Yusoh


