KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen DAP yang juga bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyatuan semula Taiwan dengan China termasuk melalui penggunaan kekerasan sebagai tidak perlu, berbahaya dan terlalu simplistik.
Kian Ming berkata, wawancara Anwar bersama wartawan Al Jazeera, Sreenivasan Jain yang diterbitkan di YouTube pada 17 Ogos lalu telah mencetuskan perhatian terhadap Malaysia atas sebab yang tidak sepatutnya, khususnya berhubung sokongan terbuka Perdana Menteri terhadap penyatuan semula Taiwan dengan China termasuk melalui penggunaan kekerasan.
Menurutnya, pendirian itu tidak perlu dari sudut kedudukan dasar luar Malaysia, berbahaya kerana berpotensi mencetuskan tindak balas terhadap pelaburan dan perdagangan serta terlalu simplistik dalam membandingkan hubungan China-Taiwan dengan sistem demokrasi persekutuan di Malaysia.
“Pertama, tidak ada keperluan untuk Anwar menjawab soalan wartawan itu mengenai isu sama ada kekerasan harus digunakan dalam penyatuan semula Taiwan dengan China.
“Wartawan itu jelas memprovokasi Anwar untuk memberikan jawapan yang boleh disensasikan bagi meningkatkan jumlah tontonan dan perhatian terhadap program Al Jazeera beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di media sosial hari ini.
Kian Ming berkata, sebagai ahli politik berpengalaman, Anwar sepatutnya mengelak daripada menjawab isu berkenaan dan menghindari sebarang perangkap yang mungkin disediakan untuknya.
Menurut beliau, setakat pengetahuannya, pendirian dasar luar Malaysia adalah sama ada memilih untuk berdiam diri mengenai kaedah penyatuan semula Taiwan dan China atau merujuk kepada frasa “penyatuan semula secara aman” sebagai titik rujukan dalam pendekatan tersebut.
Katanya, setakat pengetahuannya juga, belum pernah ada Perdana Menteri Malaysia yang secara terbuka menyokong penyatuan semula Taiwan dengan China melalui penggunaan kekerasan.
Beliau berkata, kenyataan Anwar bukan sahaja menyimpang daripada kedudukan dasar luar Malaysia sedia ada dalam isu berkenaan, malah tidak perlu memandangkan pendekatan negara yang mahu “mengimbangi” dasar luar antara China dan Amerika Syarikat (AS)
“Kenyataan Anwar akan ditafsirkan oleh ramai pihak, termasuk pembuat dasar dari AS dan China, bahawa Malaysia telah memilih untuk ‘condong’ kepada satu pihak dalam persaingan geopolitik ini,” katanya.
Kian Ming turut memberi amaran kenyataan tersebut berpotensi meletakkan pelaburan dan perdagangan bernilai berbilion ringgit dalam risiko, khususnya dalam sektor semikonduktor yang mengalir masuk ke Malaysia pada paras rekod susulan banyak syarikat Taiwan mengamalkan strategi “Taiwan + One” bagi mempelbagaikan risiko.
Menurutnya, Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2025 dengan jumlah perdagangan meningkat sebanyak 32 peratus dari 2023 hingga 2024 dan sekali lagi sebanyak 32 peratus dari 2024 hingga 2025.
Katanya, jumlah perdagangan Malaysia dengan Taiwan mencecah RM230 bilion pada 2025, manakala Taiwan merupakan pelabur asing kelapan terbesar di Malaysia pada tahun sama dengan pelaburan diluluskan melebihi RM4 bilion berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Kian Ming turut memetik kenyataan Kementerian Luar Taiwan yang memberi amaran berhubung kemungkinan kesan kenyataan Anwar terhadap keyakinan perniagaan Taiwan untuk melabur di Malaysia dan sentimen sama turut disuarakan oleh Taiwan Chamber of Commerce & Industry in Malaysia (TCCIM)
Beliau berkata, industri semikonduktor Malaysia sedang berkembang pesat hasil tekanan geopolitik yang mendorong strategi “China + 1” dan “Taiwan + 1”.
Menurutnya, daripada mendedahkan Malaysia kepada publisiti negatif yang mungkin menjejaskan sebahagian pelaburan dari Taiwan, negara sepatutnya secara senyap-senyap berusaha memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan tanpa menjejaskan dasar Satu China.
Katanya, dasar Satu China juga penting untuk terus dikekalkan memandangkan hubungan perdagangan dan pelaburan rapat antara Malaysia dengan China.
Dalam pada itu, Kian Ming menyifatkan perbandingan Anwar mengenai sebuah “wilayah” di Malaysia yang mahu berpisah dengan situasi China dan Taiwan sebagai terlalu simplistik.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963 bersama Singapura, manakala pilihan raya negeri dan Persekutuan diadakan secara berkala melibatkan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, tidak ada keperluan untuk membawa isu mana-mana negeri di Malaysia mahu meninggalkan Persekutuan kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan secara serius dalam kalangan pemain politik utama negara.
Kian Ming berkata, sekalipun isu berkenaan dibincangkan, mengikut tradisi banyak negara demokrasi lain, terdapat kaedah aman untuk menyelesaikannya tanpa menggunakan kekerasan termasuk melalui referendum.
“Saya berharap isu ini akan ‘reda’ dengan cara yang tidak menjejaskan kepentingan ekonomi dan politik Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
“Nasihat saya kepada Anwar supaya membuat persediaan lebih baik untuk wawancara seperti ini pada masa hadapan. Tanpa persediaan mencukupi dan membaca nota taklimat yang diberikan kepadanya, mungkin lebih baik Anwar menolak wawancara seperti ini pada masa hadapan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr. Ong Kian Ming



