KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkongsi pengalaman tidak disangka ketika mendapatkan khidmat tukang urut yang ditemuinya secara dalam talian kira-kira dua tahun lalu.
Marina berkongsi pengalaman berkenaan selepas membaca laporan mengenai seorang lelaki warga asing yang didakwa menawarkan perkhidmatan mengurut wanita pada harga RM10 menerusi media sosial.
Menurutnya, dunia maya sememangnya dipenuhi pelbagai ragam manusia termasuk perkara yang disifatkannya pelik dan kadangkala di luar jangkaan.
“Semalam baca pasal lelaki warga asing membuat tawaran dalam media sosial mengurut wanita dengan harga RM10 je.
“Dalam dunia maya ni, entah berbagai perangai yang kita akan jumpa. Memang begitu hakikatnya. Yang pelik, super pelik, yang tak terjangkau akal, macam-macam,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Mengimbau kejadian kira-kira dua tahun lalu, Marina berkata, ketika itu dia mencari tukang urut wanita secara dalam talian kerana mengalami sengal badan.
Katanya, dia kemudian menemui seorang tukang urut wanita tempatan berusia lingkungan 40-an dan memanggil wanita berkenaan datang ke rumah bagi mendapatkan khidmat urutan.
Pada mulanya, sesi berkenaan berjalan seperti biasa, namun Marina berkata keadaan berubah apabila tukang urut terbabit membuat satu tawaran kepadanya pada penghujung sesi.
Menurut Marina, wanita itu mencadangkan supaya dia datang ke tempatnya sekiranya mahu mendapatkan urutan lebih kuat daripada suaminya.
“Awak… awak nak rasa tak urut kuat sikit? Kalau nak rasa urut kuat sikit, datanglah tempat akak… suami akak boleh urutkan,” katanya memetik wanita berkenaan.
Marina berkata, dia terkejut dengan pelawaan tersebut sebelum bertanyakan beberapa soalan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Menurutnya, rasa kurang selesa semakin timbul apabila tukang urut berkenaan mendakwa isteri kedua suaminya juga pada asalnya pernah mendapatkan khidmat urutan lelaki tersebut sebelum mereka akhirnya berkahwin.
“Owh… isteri kedua abang pun suka abang sebab masa mengurut… Dia biasa mengurut dengan abang dulu. Lepastu kahwin dengan abang,” katanya memetik perbualan berkenaan.
Marina berkata, selepas mendengar cerita tersebut, dia segera menghentikan sesi berkenaan dengan memberikan alasan mempunyai program yang perlu dihadiri.
“Tak habis urut… aku dah melompat duduk betulkan kain batik. ‘Kak… saya terlambat ni. Baru saya teringat, ada program’.
“Aku ambil beg duit bayar, terus jerit panggil mak aku, ‘Mak… Ina nak cepat ni… Tengokkan akak ni nak balik’, terus aku lari masuk bilik,” ceritanya.
Marina secara berseloroh menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang membuatkannya trauma, manakala ibunya pula ketawa selepas mendengar cerita berkenaan sebaik tukang urut tersebut meninggalkan rumah. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Marina Ibrahim


