NIBONG TEBAL – Kerajaan mengambil langkah bijak dan pendekatan di luar kotak bagi mengurangkan beban golongan ibu bapa dengan menyediakan kemudahan bayaran ansuran pakaian seragam sekolah anak-anak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kemudahan itu disediakan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Ini satu program yang sangat baik untuk rakyat dan saya juga berhasrat memberikan komitmen terhadap projek ini khususnya bagi persiapan persekolahan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Madani Kita hari ini.
Fadhlina berkata, kemudahan pembayaran secara ansuran itu dapat mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung ibu bapa pada setiap awal sesi persekolahan.
Menurutnya, kewujudan NADI turut memberi ruang kepada kerajaan untuk berhubung secara lebih dekat dengan masyarakat menerusi pelbagai program yang disediakan.
“Selain menawarkan kemudahan berkaitan kelengkapan persekolahan, NADI turut mempunyai program tuisyen dan aktiviti e-sukan.
“Platform ini sangat penting untuk menyampaikan aspirasi, suara dan pendirian kerajaan berkaitan pelbagai isu,” katanya. – MYNEWSHUB


