KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Tenggara, Manndzri Nasib mempersoalkan status Syarikat Bertujuan Khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mengambil alih aset Tabung Haji.
Beliau mempersoalkan siapakah pasukan pengurus UJSB serta status syarikat berkenaan ketika ini, sama ada mengalami kerugian, mencatat keuntungan atau berjaya membiakkan harta Tabung Haji yang diuruskan.
“Dan Tenggara nak tanya kepada kerajaan, adakah UJSB ini juga perlu diaudit? Adakah tidak adil audit sehingga 2020 sahaja sedangkan tempoh selepas itu pun banyak transaksi yang diragui, terutamanya yang melibatkan terbitan sukuk yang dibayar,” katanya ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat hari ini.
Manndzri berkata, beliau mendapat maklumat bahawa UJSB selepas mengambil alih aset Tabung Haji telah menghasilkan keuntungan.
“Tenggara ada dengar dakwaan UJSB untung, mampu bayar bonus kepada pegawai-pegawai sedangkan aset yang diambil adalah daripada Tabung Haji,” katanya.
Beliau turut meminta kerajaan memberikan jawapan jujur berhubung dakwaan bahawa UJSB diurus dan ditadbir melalui Prokhas Sdn Bhd.
“Benarkah dakwaan UJSB diurus dan pentadbiran melalui Prokhas Sdn Bhd?” soalnya.
Manndzri turut mempersoalkan sensitiviti kerajaan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 dalam menguruskan aset-aset strategik Islam, yang menurutnya diterajui oleh kepimpinan bukan Islam.
“Di manakah sensitiviti kerajaan sebelum ini? Kerajaan yang menguruskan ini PH 1.0 pada ketika itu apabila urus tadbir aset-aset strategik Islam diterajui oleh kepimpinan yang bukan Islam.
“Adakah terdapat agenda sebalik itu? Aset-aset ini hampir tergadai kepada bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata perkara tersebut pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat dan menegaskan ia bukan fitnah, rekaan atau modal politik kosong serta tidak mempunyai niat untuk membawa isu perkauman.
Menurutnya, Hansard Dewan Rakyat bertarikh 22 Julai 2020 jelas merakamkan pengesahan rasmi bahawa pelan pelupusan 76.2 peratus tanah ladang milik Tabung Haji Plantation berlaku pada 2019.
“Bagaimanapun, ia berjaya disekat. Kalau tidak berjaya disekat, saya pun tak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Manndzri turut merujuk Hansard Dewan Rakyat bertarikh 8 Disember 2020 yang menurutnya membongkar surat Unit Perancang Ekonomi, kini Kementerian Ekonomi, berhubung tanah subur seluas 6,514 hektar di Sarawak.
Beliau berkata tanah berkenaan hampir diserahkan secara murah pada harga RM170 juta kepada syarikat swasta Tomaco Plantation.
“Siapa Tomaco Plantation ini? Syarikat swasta bukan bumiputera. Syarikat perniagaan keluarga, family owned business, berpengkalan di Lahad Datu, Sabah. Kalau tak percaya boleh semak di mana-mana laman sosial,” katanya. – MYNEWSHUB


