JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa hairan dengan kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Menurut beliau, PH daripada setinggi-tinggi pemimpin sehingga ke peringkat bawahan menyeru nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya pelik betul kempen PH daripada setinggi-tinggi pemimpin sampailah ke peringkat bawah seolah-olah tiada modal lain dalam kempen PRN Johor.
“Di mana-mana asyik menjaja nama Datuk Seri Najib. Cuba membohongi rakyat seolah-olah jika Barisan Nasional (BN) menang PRN Johor maka Datuk Seri Najib akan dibebaskan
“Aduhai takkanlah rakyat Johor boleh diperbodohkan sebegitu rupa. Apa kaitan pilihan raya dengan pembebasan pula?,” katanya di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, rakyat zaman sekarang sudah cerdik dan tidak lagi mudah untuk dipermainkan dengan pelbagai janji bohong bulan dan bintang seperti tahun 2018.
Menurut beliau, rakyat tahu hanya ada satu cara pembebasan Najib sebagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu iaitu melalui kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, kuasapengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagai mana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Patutnya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, PH perlu lebih berhemah dan berfakta dalam kempen PRN Johor.
“Kemukakanlah tawaran realistik kepada rakyat macam mana nak lawan agenda Maju Johor 2030 yang ditawarkan BN.
“Ini zaman politik idea dan fakta, bukan lagi politik sentimen dan auta,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


