SEREMBAN – UMNO tidak pernah berganjak daripada asas perjuangannya dalam mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perjuangan itu malah bukan muncul ketika pilihan raya sahaja, sebaliknya ia adalah prinsip yang menjadi tunjang kepada kewujudan UMNO sejak lebih lapan dekad yang lalu.
“Kita percaya bahawa bangsa Melayu yang kukuh akan menjadi tiang seri kepada kestabilan negara. Melayu yang bersatu akan menjadi benteng kepada agama, institusi Raja-Raja dan Perlembagaan. Selagi asas itu kukuh, selagi itulah negara akan terus berdiri dengan teguh menghadapi pelbagai cabaran.
“Namun dalam mempertahankan prinsip tersebut, kita juga tidak pernah melupakan satu hakikat penting. Malaysia tidak dibina oleh satu kaum sahaja. Negeri Sembilan juga tidak dibangunkan oleh satu kaum sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Jalaluddin berkata, kemajuan Negeri Sembilan hari ini adalah hasil sumbangan semua kaum yang bersama-sama membangunkan negeri itu sejak sekian lama.
Menurut beliau, masyarakat Melayu menjadi tonggak kepada kemajuan negeri, masyarakat Cina menyumbang kepada pembangunan ekonomi, manakala masyarakat India memainkan peranan penting dalam sektor perladangan, profesional dan perusahaan.
“Semua memainkan peranan dalam membina negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Jelas beliau, atas semangat itulah BN sejak dahulu memilih jalan muafakat dengan menghimpunkan UMNO, MCA, MIC serta parti-parti komponen lain dalam satu gabungan.
Katanya, pendekatan itu berasaskan kefahaman bahawa mempertahankan hak orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan hak kaum lain.
“Memartabatkan Islam tidak pernah bermaksud meminggirkan penganut agama lain. Mengangkat kedudukan Bumiputera juga tidak pernah bermaksud menutup ruang kemajuan kepada masyarakat lain.
“Sebaliknya, apabila orang Melayu kukuh sebagai teras negara, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan masyarakat Cina terus yakin terhadap masa depan mereka, masyarakat India terus berasa dihargai, manakala masyarakat Orang Asli tidak berasa dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata, semangat yang dibawa BN memastikan Negeri Sembilan kekal menjadi rumah bersama yang menawarkan peluang, keamanan dan masa depan kepada semua rakyat tanpa menggadaikan hak serta keistimewaan orang Melayu, Bumiputera dan kedudukan Islam. – MYNEWSHUB


