KUALA LUMPUR – Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui dana KWAP tidak pernah digunakan untuk membayar pencen penjawat awam sebelum tahun 2018.
Beliau yang juga pemantau Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pandan turut mengakui bayaran pencen penjawat awam sebelum tahun 2018 dibayar sepenuhnya daripada belanjawan kerajaan.
Tengku Zafrul bagaimanapun mendakwa kerajaan sebelum 2018 tidak menggunakan dana KWAP untuk membayar pencen penjawat awam adalah kerana ia masih dalam fasa pengumpulan.
Dalam masa sama, Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mendakwa amalan menggunakan dana KWAP untuk membayar pencen penjawat awam selepas 2018 bukan dimulakan oleh Kerajaan Madani.
Untuk rekod, Perdana Menteri sebelum tahun 2018 ialah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Betul. Sebelum 2018, KWAP belum digunakan untuk membayar pencen kerana dana itu masih dalam fasa pengumpulan. Ketika itu, keseluruhan pencen dibayar terus daripada belanjawan kerajaan.
“Pengeluaran pertama daripada KWAP bermula pada 2018. Lepas itu, diteruskan pada zaman Perikatan Nasional (PN), zaman Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Ismail Sabri dan sekarang era Madani.
“Jadi, ini bukan amalan yang tiba-tiba bermula di bawah Kerajaan Madani. Setiap sen dibentangkan dalam belanjawan dan diaudit oleh Ketua Audit Negara,” katanya menerusi satu rakaman video di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menolak tanggapan Kerajaan Madani menjarah dana KWAP dan menjadikan KWAP seperti mesin ATM kerana KWAP memang ditubuhkan untuk diurus dan dilaburkan bagi membantu kerajaan membiayai pencen, ganjaran dan faedah persaraan penjawat awam.
“Duit KWAP yang dikeluarkan itu pergi ke mana? Bukan untuk projek mewah. Bukan untuk bailout syarikat. Bukan masuk ke mana-mana akaun individu. Ia digunakan untuk membantu kerajaan membayar pencen, ganjaran dan faedah persaraan. Itulah tujuan yang ditetapkan oleh Akta KWAP,” katanya.
Beliau seterusnya mendakwa dari 2018 hingga 2025, jumlah kos persaraan kerajaan adalah sekitar RM247.6 bilion, tetapi KWAP hanya menampung RM29.5 bilion iaitu sekitar 12 peratus dan selebihnya tetap dibayar oleh kerajaan melalui belanjawan negara.
Tengku Zafrul turut mendakwa dana KWAP tidak susut, sebaliknya mencatat pulangan pelaburan sebanyak 12 peratus pada 2024 dengan sekitar RM18 bilion pendapatan pelaburan.
“Selepas menyalurkan RM5 bilion untuk pencen, saiz dana masih meningkat kepada RM185.6 bilion. Berdasarkan angka 2025, saiz dana meningkat lagi kepada RM195.26 bilion. Maksudnya, KWAP bukan semakin kempis.
“Dan zaman sifar pengeluaran yang mereka banggakan itu juga ialah zaman KWAP meminjamkan RM4 bilion kepada SRC International, syarikat berkaitan 1MDB.
“Apabila SRC gagal membayar balik, siapa yang menanggung RM4 bilion itu? Rakyatlah yang menanggungnya.
“Jadi, apabila orang kata KWAP dijarah, ada dua kemungkinan. Sama ada dia tidak faham bagaimana KWAP berfungsi atau dia memang sengaja mahu menakutkan rakyat,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Video: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


