KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mempertahankan video “talkin pilihan raya” yang beliau dakwa bertujuan menyampaikan mesej berbentuk satira politik.
Menurutnya, beliau namun memadam rakaman video tersebut selepas ramai pihak menularkan hantaran tersebut sehingga ia menjadi satu polemik.
“Ramai orang memviralkan atau menjadikan isu itu sebagai satu polemik. Sebab itulah saya buat keputusan untuk tidak meneruskan dengan posting itu.
“Mesej saya ialah untuk memberikan kefahaman dan kesedaran dalam bentuk satira politik. Sindiran politik saya memberikan mesej melalui sindiran.
“Alhamdulillah nampak sampai mesejnya,” dakwanya ketika menjawab soalan pemberita pada satu sidang media. Rakaman sidang media tersebut di muat naik di akaun media sosial beliau hari ini.
Dalam pada itu, beliau menaruh keyakinan Pakatan Harapan (PH) akan memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok untuk membentuk kerajaan negeri.
“Saya yakin dalam keadaan semangat yang sama dengan sokongan yang sangat baik sebenarnya. Saya lihat kemungkinan kita boleh mendapat 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Sidang Media/: Akaun Media Sosial Shamsul Iskandar Mohd Akin


