PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat harus bersyukur kepada Allah S.W.T dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi negara ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sikap kufur atau menolak anugerah Allah S.W.T itu tidak akan memberikan kebaikan, malah azab yang pedih.
“Kita dipaparkan kejayaan-kejayaan ringgit terkuat di Asia, pelaburan tertinggi dalam sejarah, negara aman dan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, memberansangkan antara terbaik di Asia.
“Betul angka-angka ini menyebabkan kita harus berasa syukur kepada Allah S.W.T kerana syukur itu tuntutan. Kita harus bersyukur. Petanda kita patuh dan terima kebaikan yang ada.
“Kerana kufur atau menolak itu, terutama daripada anugerah Allah SWT tidak akan memberikan kebaikan, malah azab yang pedih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.
Anwar berkata, kesyukuran itu namun tidak bermakna sekadar berpuas hati, sebaliknya golongan muda harus mencapai prestasi yang lebih baik daripada generasi terdahulu.
Bagaimanapun, kata beliau, pencapaian golongan muda akan terhalang dan merosot sekiranya pihak yang diamanahkan hanya tahu mengaut kekayaan, tidak mempedulikan rakyat dan menghasut membenci satu sama lain.
“Jadi tanda syukur kita bukan nak minta terima kasih, tetapi (untuk) mendorong kita menuntut perubahan yang lebih baik, bekerja lebih keras, disiplin dan punya sikap yang lebih lunak,” katanya. – MYNEWSHUB


