SEREMBAN – Beberapa watak besar Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini begitu lantang sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat kurang menyerlah dalam kempen PRN Negeri Sembilan.
Antaranya Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong.
Mereka setakat ini dilihat tidak begitu menonjol meskipun tempoh berkempen sudah memasuki fasa penting berbanding semasa PRN Johor bulan lalu.
Situasi sama turut melibatkan pemimpin Amanah, Datuk Dr Ismail Salleh yang sebelum ini tampil agresif sepanjang PRN Johor, tetapi kali ini kelihatan lebih sederhana berkempen menerusi media sosial.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini antara watak utama semasa PRN Johor juga tidak begitu menonjol dalam siri kempen di Negeri Sembilan.
Perkembangan itu mengundang tanda tanya kerana ramai menjangkakan barisan pemimpin yang menjadi ‘jurucakap penting’ PH sebelum ini akan sekali lagi memainkan peranan besar sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Sebaliknya, pentas kempen kali ini dilihat lebih banyak digerakkan oleh pemimpin tempatan, manakala beberapa nama besar PH yang sebelum ini menjadi perhatian kelihatan kurang diberi peranan di hadapan.
Perbezaan itu mencetuskan pelbagai tafsiran termasuk melihatnya sebagai strategi baharu untuk tidak mengulangi pendekatan kempen yang sama seperti di Johor. – MYNEWSHUB


