KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO tidak mempunyai masalah dengan gesaan Pemuda Pakatan Harapan (PH) supaya pemimpin Barisan Nasional (BN) meletak jawatan Kabinet.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi hantaran di media sosial malah menegaskan pendirian sayap itu supaya UMNO keluar Kerajaan Perpaduan kekal sehingga hari ini.
“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu UMNO keluar dari kerajaan perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga ke hari ini,” katanya.
Akmal namun menyarankan Pemuda PH turut mendesak parti Warisan keluar Kerajaan Persekutuan kerana parti itu bertanding menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Beliau berkata, sekiranya PRN Sarawak diadakan kelak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding menentang PH, desakan yang sama juga perlu dikenakan terhadap GPS.
“Jika tidak, saya cabar YAB PMX untuk buang semua Menteri dan Timbalan Menteri dari BN, Warisan dan GPS. Sila sahut cabaran ini,” katanya. – MYNEWSHUB


