JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor dibuat bagi memperkukuhkan kapasiti pentadbiran negeri, bukannya untuk menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan.
Beliau berkata, Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang tahun 2030 yang memerlukan jentera pentadbiran lebih mantap dan berkeupayaan tinggi.
Menurutnya, seiring dengan perkembangan itu, kapasiti pentadbiran negeri perlu diperkukuhkan supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh Bangsa Johor.
“Lantikan ini bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan. Sebaliknya, ia diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu-isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan,” katanya.
Onn Hafiz berkata, pelantikan Timbalan EXCO juga tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mengubah struktur pentadbiran Kerajaan Negeri mahupun mandat yang diberikan rakyat melalui pilihan raya.
Sebaliknya, katanya, ia hanyalah satu mekanisme pentadbiran bagi membantu menyelaras pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat operasi tanpa menjejaskan bidang kuasa Ahli MMK Negeri.
Mengulas implikasi kewangan, beliau menjelaskan pelantikan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum melalui penggunaan aset serta kemudahan sedia ada Kerajaan Negeri.
“Tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor kekal komited mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab dengan setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


