SEREMBAN – MCA mengucapkan terima kepada Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook kerana mengingatkan MCA tidak pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sejak tahun 2013.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Anthony Loke mempunyai segala alasan untuk berasa sangat yakin dengan kedudukan DAP di Negeri Sembilan dan melabelkan MCA sebagai pihak yang paling rugi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
“Hakikatnya MCA tidak memenangi satu pun kerusi DUN Negeri Sembilan sejak tahun 2013. Bagi tiga kerusi yang kami putuskan tidak tandingi, penilaian kami sendiri peluang terlalu tipis selepas mengalami kekalahan yang sangat besar di kawasan tersebut dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Tiada gunanya berpura-pura, namun bagi tujuh kerusi yang kami tandingi, kami percaya kami masih mempunyai peluang untuk berjuang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Ka Siong berkata, MCA juga turut memahami bahawa tiada siapa yang berhutang undi kepada MCA selepas 13 tahun tanpa seorang pun wakil MCA di DUN Negeri Sembilan.
Justeru, katanya, MCA perlu terus merendah diri, bekerja lebih keras dan meyakinkan para pengundi satu demi satu bahawa parti itu juga layak diberi satu lagi peluang untuk berkhidmat.
Tambahnya, MCA yang sedang memulakan semula perjuangan di Negeri Sembilan juga tidak boleh bersikap angkuh dan tidak boleh mengambil mudah mana-mana pengundi.
“Apa yang mampu kami lakukan adalah membuktikan bahawa jika diberi peluang, wakil-wakil MCA akan bekerja keras, bersuara untuk rakyat.
“Justeru, saya dengan ikhlas ingin mengucapkan terima kasih kepada Anthony Loke kerana sentiasa mengingatkan mengenai kelemahan MCA.
“Kami amat bersyukur kerana para pengundi di Johor telah memberi peluang kepada MCA untuk merampas semula tiga kerusi DUN minggu lalu.
“Semoga para pengundi di Negeri Sembilan juga sudi mempertimbangkan untuk memberi kami satu lagi peluang di beberapa kerusi di negeri ini,” katanya. – MYNEWSHUB


