• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, July 27, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

MB Kedah Muhammad Sanusi Ulas Kontroversi Ucapan

oleh Mynewshub
27/07/2026
dalam Utama & Sensasi
0
MB Kedah Muhammad Sanusi Ulas Kontroversi Ucapan
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini mencetuskan polemik.

Sebilangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menganggap ia berunsur perkauman, manakala Muhammad Sanusi menafikan tanggapan tersebut dengan mendakwa ucapannya telah disalah tafsir.

Berikut ulasan terbaru oleh Muhammad Sanusi berhubung isu tersebut:

“TANAH MELAYU SATU-SATUNYA TANAH AIR ORANG MELAYU” GAGASAN YANG TELAH DIAKUI DI PARLIMEN BRITISH SEJAK 1940-AN LAGI

Tidak semena-mena ucapan saya dalam Ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan, pada malam 23 Julai lalu telah mencetuskan kontroversi apabila saya didakwa menyatakan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sedangkan bangsa-bangsa lain mempunyai negara yang secara sejarah dikaitkan dengan asal-usul masing-masing.

Apa yang saya kata hanya begini: “Melayu tadak dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina… Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Saya kemudiannya mengulangi gagasan ini dengan merujuk sejarah pembentukan negara: “Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India… Dulu nama tanah ni Tanah Melayu. Ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.”

Ucapan ini saya sampaikan dalam konteks kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. Saya menghubungkan identiti sejarah Tanah Melayu dengan kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta keperluan masyarakat Melayu mengambil berat tentang perkembangan politik semasa.

Namun begitu, dari sudut akademik, ungkapan bahawa Tanah Melayu merupakan tanah air sejarah dan satu-satunya tanah air orang Melayu bukanlah gagasan baharu yang saya cipta pada 2026. Intipati yang sama pernah dinyatakan secara rasmi oleh sekurang-kurangnya tiga tokoh British dalam perbahasan Parlimen United Kingdom, iaitu Mr Oliver Stanley pada 1946, Lord Killearn pada 1949 dan Lord Ogmore pada 1957.

Oleh sebab itu, ucapan saya tidak sepatutnya terus dijadikan isu seolah-olah saya memperkenalkan suatu doktrin perkauman baharu atau menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu. Apa yang saya nyatakan mempunyai akar sejarah yang jelas dalam rekod rasmi British mengenai Tanah Melayu.

OLIVER STANLEY: TANAH MELAYU IALAH TANAH AIR TRADISIONAL ORANG MELAYU

Pada 8 Mac 1946, ketika House of Commons membahaskan rancangan Malayan Union melalui bacaan kali kedua Straits Settlements (Repeal) Bill [Lords], Mr Oliver Stanley, Ahli Parlimen bagi Bristol West, menyatakan: “It is quite true, as has been pointed out by so many hon. Members, that Malaya was originally a Malayan country, that it is the traditional home of the Malays, and that the Chinese and Indians who have come there have come there in larger numbers, at any rate, in recent years and largely at our invitation.”

Terjemahannya: “Memang benar, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai Ahli Yang Berhormat, bahawa Tanah Melayu pada asalnya ialah sebuah negeri Melayu dan merupakan tanah air tradisional orang Melayu. Masyarakat Cina dan India yang datang ke sana pula telah datang dalam jumlah yang lebih besar, sekurang-kurangnya pada zaman kebelakangan itu, dan sebahagian besarnya atas undangan kita.”

Kenyataan Oliver Stanley mengandungi dua pengakuan sejarah yang penting.

Pertama, Tanah Melayu pada asalnya ialah sebuah wilayah Melayu dan merupakan tanah air tradisional orang Melayu. Kedua, pertambahan besar masyarakat Cina dan India pada zaman penjajahan tidak boleh dipisahkan daripada dasar ekonomi dan pentadbiran British yang membawa masuk tenaga buruh serta menggalakkan penghijrahan.

Walau bagaimanapun, Oliver Stanley tidak menggunakan hakikat sejarah tersebut untuk menafikan masa depan masyarakat bukan Melayu yang telah menetap secara tetap. Dalam ucapan yang sama, beliau menjelaskan: “Whatever the history is, the fact remains that we cannot possibly expect large numbers of Chinese and Indians to live for ever as Stateless visitors in the country in which they may have chosen, at our invitation, to make their homes and the homes of their children.”

Terjemahannya: “Walau apa pun sejarahnya, hakikatnya kita tidak mungkin mengharapkan sebilangan besar masyarakat Cina dan India hidup selama-lamanya sebagai pelawat tanpa kewarganegaraan di sebuah negara yang telah mereka pilih—atas undangan kita—untuk dijadikan tempat tinggal mereka dan anak-anak mereka.”

Ucapan ini memperlihatkan dua prinsip yang boleh wujud secara serentak, iaitu Tanah Melayu ialah tanah air tradisional orang Melayu, tetapi masyarakat bukan Melayu yang telah menetap secara tetap tidak boleh terus dinafikan hak kewarganegaraan.

Prinsip inilah yang kemudiannya berkembang melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Merdeka 1957.

Rujukan rasmi kenyataan Oliver Stanley:
https://hansard.parliament.uk/Commons/1946-03-08/debates/6f6f5e08-b8cd-41f2-a17f-63fd653ed509/StraitsSettlements%28Repeal%29BillLords

LORD KILLEARN: NAMA “MALAYA” SENDIRI MEMBAWA MAKSUD TANAH ORANG MELAYU

Tiga tahun kemudian, pada 13 April 1949, Lord Killearn, atau Miles Wedderburn Lampson, 1st Baron Killearn, menyampaikan ucapan dalam perbahasan Colonial Policy and Administration di House of Lords.

Ketika membincangkan masa depan pemerintahan sendiri di Tanah Melayu, beliau berkata: “As the name implies, it is the land of the Malays—a grand people. But there are other racial factors which have to be considered in dealing with this extremely delicate question.”

Terjemahannya: “Seperti yang ditunjukkan oleh namanya, ia ialah tanah orang Melayu—suatu bangsa yang hebat. Namun, terdapat juga faktor kaum lain yang perlu dipertimbangkan dalam menangani persoalan yang amat rumit dan sensitif ini.”

Lord Killearn secara jelas menghubungkan nama Malaya dengan orang Melayu. Menurut beliau, nama wilayah itu sendiri memperlihatkan bahawa ia ialah tanah orang Melayu.

Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan kewujudan masyarakat lain. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa faktor kaum lain perlu dipertimbangkan dalam menyelesaikan persoalan politik dan perlembagaan Tanah Melayu.

Ini sekali lagi menunjukkan bahawa pengiktirafan Tanah Melayu sebagai tanah orang Melayu tidak semestinya bermaksud penolakan terhadap hak atau kehadiran masyarakat lain.

Kedua-dua perkara boleh diakui secara serentak, iaitu identiti sejarah Melayu dan realiti masyarakat majmuk.

Rujukan rasmi kenyataan Lord Killearn:
https://hansard.parliament.uk/Lords/1949-04-13/debates/6c4bc451-61b0-456b-9685-dc026051feca/LordsChamber

LORD OGMORE: TANAH MELAYU IALAH SATU-SATUNYA TANAH AIR ORANG MELAYU

Pada 29 Julai 1957, kira-kira sebulan sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Lord Ogmore menyampaikan ucapan ketika House of Lords membahaskan bacaan kali kedua Federation of Malaya Independence Bill.

Beliau menyatakan: “One has to remember that Malaya is the Malays’ only home, and that that does not necessarily apply to any of the other races who occupy the peninsula, or to people who live in it for a shorter or a longer time.”

Terjemahannya: “Perlu diingat bahawa Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air bagi orang Melayu, sedangkan keadaan tersebut tidak semestinya terpakai kepada kaum-kaum lain yang mendiami semenanjung ini atau kepada mereka yang tinggal di sini, sama ada untuk tempoh yang singkat mahupun lama.”

Ungkapan Lord Ogmore sama dengan ungkapan saya.

Saya kata: “Melayu ada Tanah Melayu ni saja.”

Lord Ogmore pula kata: “Malaya is the Malays’ only home.”

Persamaan ini bukan sekadar pada pemilihan perkataan, tetapi juga pada gagasan teras bahawa orang Melayu tidak mempunyai sebuah negara bangsa alternatif yang menggunakan nama, institusi, bahasa dan identiti Melayu sebagai asas kenegaraannya.

Lord Ogmore menyampaikan pandangan tersebut ketika membincangkan kompromi Perlembagaan Merdeka. Beliau menyenaraikan isu kewarganegaraan, agama, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu serta status Pulau Pinang dan Melaka sebagai perkara yang berpotensi menimbulkan pertikaian.

Beliau juga menyebut bahawa Tanah Melayu ketika itu mempunyai kira-kira 3.1 juta orang Melayu, 2.5 juta orang Cina dan 800,000 orang India. Cabaran utama pembentukan Perlembagaan ialah mewujudkan sebuah negara yang dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum tanpa menghapuskan sejarah, institusi dan kedudukan masyarakat Melayu.

Dalam konteks itulah Lord Ogmore menyatakan bahawa orang Melayu telah memberikan konsesi perlembagaan yang besar kepada masyarakat lain.

Namun demikian, sebagaimana Oliver Stanley dan Lord Killearn, Lord Ogmore tidak berakhir dengan penegasan identiti Melayu semata-mata. Beliau menyeru “all the races and all the peoples in the Federation of Malaya, to help wholeheartedly in the working of the Constitution.”

Terjemahannya: “semua kaum dan seluruh rakyat di Persekutuan Tanah Melayu supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan pelaksanaan Perlembagaan.”

Ini bermakna Lord Ogmore mengiktiraf hubungan sejarah khusus antara orang Melayu dengan Tanah Melayu, tetapi pada masa yang sama menerima bahawa negara merdeka memerlukan kerjasama, kesetiaan dan penglibatan semua warganegara.

Rujukan rasmi ucapan Lord Ogmore:
https://hansard.parliament.uk/Lords/1957-07-29/debates/42db425f-4739-4b05-83af-968e34bf4956/FederationOfMalayaIndependenceBill

INTIPATI KEEMPAT-EMPAT UCAPAN ADALAH SAMA

Apabila ucapan saya dibandingkan dengan ucapan Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore, persamaan yang jelas dapat dikenal pasti.

Oliver Stanley menyatakan bahawa Tanah Melayu ialah “the traditional home of the Malays.”

Lord Killearn menyatakan “it is the land of the Malays.”

Lord Ogmore menyatakan “Malaya is the Malays’ only home.”

Saya pula menyatakan “Melayu ada Tanah Melayu ni saja.”

Keempat-empat ungkapan ini membawa intipati sejarah yang sama, iaitu Tanah Melayu ialah wilayah yang mempunyai hubungan sejarah, politik dan kebudayaan khusus dengan orang Melayu.

Hubungan ini dapat dilihat melalui kewujudan negeri-negeri Melayu, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, adat istiadat Melayu, agama Islam sebagai unsur utama sejarah negeri-negeri tersebut serta penggunaan nama Persekutuan Tanah Melayu.

Oleh itu, ucapan saya bukanlah suatu gagasan luar biasa, baharu atau terpisah daripada sejarah. Ia merupakan pengulangan dalam bahasa politik semasa terhadap suatu pengakuan yang pernah dibuat secara terbuka dalam Parlimen British sejak 1946.

Jika ungkapan “Tanah Melayu ialah tanah air tradisional orang Melayu”, “Tanah Melayu ialah tanah orang Melayu” dan “Tanah Melayu ialah satu-satunya tanah air orang Melayu” diterima sebagai pengamatan sejarah apabila disebut oleh Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore, maka ungkapan yang membawa intipati sama tidak sepatutnya dilabel sebagai perkauman apabila saya yang menyebutnya.

Penilaian terhadap sesuatu kenyataan mestilah berasaskan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya semata-mata identiti atau kedudukan politik penuturnya.

PENGIKTIRAFAN IDENTITI MELAYU BUKAN PENAFIAN KEWARGANEGARAAN BUKAN MELAYU

Perlu dijelaskan bahawa mengatakan Tanah Melayu ialah tanah air sejarah orang Melayu tidak sama dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.

Oliver Stanley mengiktiraf Tanah Melayu sebagai tanah air tradisional orang Melayu, tetapi turut menolak keadaan masyarakat Cina dan India terus hidup sebagai “pelawat tanpa kewarganegaraan”.

Lord Killearn menyebut Tanah Melayu sebagai tanah orang Melayu, tetapi mengingatkan bahawa faktor kaum lain perlu dipertimbangkan.

Lord Ogmore pula menyatakan Tanah Melayu sebagai satu-satunya tanah air orang Melayu, tetapi menyeru seluruh kaum menjayakan Perlembagaan.

Begitu juga, dalam bahagian lain ucapan saya di mana saya menyatakan bahawa orang Melayu boleh hidup secara aman dan harmoni bersama masyarakat berbilang kaum. Saya menyebut bahawa peniaga Cina boleh membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu, sambil menegaskan: “Kita tak kacau orang.”

Oleh itu, ucapan saya perlu dibaca sebagai kebimbangan mengenai kedudukan politik dan ekonomi Melayu, bukannya seruan supaya rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan negara ini.

Rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang menjadi warganegara mempunyai hak perlembagaan, kesetiaan dan rasa kepunyaan terhadap Malaysia. Malaysia ialah tanah air mereka sebagai warganegara.

Pada masa yang sama, fakta tersebut tidak menghapuskan hakikat sejarah bahawa Semenanjung ini berkembang daripada negeri-negeri Melayu dan bahawa Persekutuan yang mencapai kemerdekaan pada 1957 dinamakan Persekutuan Tanah Melayu.

Kedua-dua kebenaran ini tidak bercanggah.

PERBEZAAN KONTEKS TIDAK MENGHAPUSKAN PERSAMAAN GAGASAN

Sudah tentu terdapat perbezaan konteks antara ucapan-ucapan tersebut.

Oliver Stanley berucap ketika Malayan Union sedang diperdebatkan pada 1946. Lord Killearn membincangkan pemerintahan sendiri pada 1949. Lord Ogmore berucap ketika kemerdekaan sedang dimuktamadkan pada 1957. Saya pula berucap dalam kempen PRN Negeri Sembilan pada 2026. Bahasa saya juga mungkin sedikit keras kerana disampaikan dalam bentuk ceramah politik sedangkan ucapan tokoh-tokoh British direkodkan dalam perbahasan Parlimen.

Namun begitu, perbezaan latar, nada dan tujuan tidak menghapuskan persamaan intipati. Kesemua mereka mengiktiraf bahawa Tanah Melayu mempunyai hubungan sejarah yang khusus dengan orang Melayu.

Justeru, adalah sesuatu yang tidak betul untuk sesiapa sahaja mengambil ungkapan saya secara terasing lalu memberikan gambaran bahawa saya sedang mempersoalkan kewarganegaraan masyarakat Cina dan India sedangkan ucapan penuh saya menunjukkan bahawa perkara yang saya bahaskan ialah hubungan sejarah Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangan saya mengenai kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu.

KESIMPULAN

Ucapan saya pada 23 Julai mempunyai persamaan tekstual dan konseptual yang jelas dengan ucapan Oliver Stanley pada 8 Mac 1946, Lord Killearn pada 13 April 1949 dan Lord Ogmore pada 29 Julai 1957.

Oliver Stanley menyebut Tanah Melayu sebagai tanah air tradisional orang Melayu. Lord Killearn menyifatkannya sebagai tanah orang Melayu. Lord Ogmore menyatakan bahawa Tanah Melayu ialah satu-satunya tanah air orang Melayu. Saya pula mengungkapkan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.

Kesemua kenyataan tersebut berasaskan premis sejarah yang sama.

Oleh itu, ucapan saya tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu isu seolah-olah ia suatu seruan untuk menghalau, menolak atau menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu. Tafsiran sedemikian melangkaui kata-kata yang diucapkan dan mengabaikan konteks keseluruhan ucapan saya.

Catatan Hansard pada 1946, 1949 dan 1957 membuktikan bahawa gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah serta satu-satunya tanah air orang Melayu telah lama diakui dalam rekod rasmi Parlimen British. Ia bukan ciptaan saya dan bukan pula suatu retorik politik yang baru muncul pada 2026.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
27 Julai 2026

PENAFIAN:

Semua kenyataan yang dinyatakan di atas adalah pandangan Muhammad Sanusi sendiri. Pihak Mynewshub tidak membuat sebarang pengesahan bebas terhadap kenyataan tersebut. Segala kenyataan di atas adalah dibawah tanggungjawab beliau sepenuhnya, dan Mynewshub melaporkannya atas dasar kebebasan serta hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat.

 

 

Tags: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. NorkempenMenteri Besar KedahPRN Negeri SembilanUcapan KontroversiUlasan
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Jalaluddin Rayu Anggota Tentera, Polis Pilih BN – “Undilah Dengan Hati Nurani Demi Negeri Sembilan”

Jalaluddin Rayu Anggota Tentera, Polis Pilih BN – “Undilah Dengan Hati Nurani Demi Negeri Sembilan”

27/07/2026
0

SEREMBAN – Anggota pasukan keselamatan khususnya tentera dan polis yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal esok diseru supaya tidak...

Konvoi Lori Bendera BN Curi Perhatian, Netizen: ‘Abam Lori Dah Insaf’

Konvoi Lori Bendera BN Curi Perhatian, Netizen: ‘Abam Lori Dah Insaf’

27/07/2026
0

SEREMBAN – Satu rakaman video memaparkan konvoi lori membawa bendera Barisan Nasional (BN) di sebuah jalan di Negeri Sembilan tular...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd