KUALA LUMPUR – Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang meminta masyarakat India menerima permohonan maaf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kenyataan beliau yang tidak disengajakan berhubung kuil Hindu sebelum ini.
Pengerusinya, RSN Rayer berkata, sudah tiba masanya untuk masyarakat India melupakan dan memaafkan serta menyedari bahawa Perdana Menteri telah menunjukkan sikap berlapang dada melalui permohonan maafnya.
“Ini merupakan satu detik bersejarah kerana tiada Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan pernah berbuat demikian sebelum ini.
“Perdana Menteri malah merapatkan kedua-dua belah tangannya sebagai satu isyarat untuk menunjukkan keikhlasan beliau dalam memohon maaf kepada masyarakat India atas kenyataan beliau yang tidak disengajakan pada masa lalu berhubung kuil-kuil Hindu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kerana menggunakan istilah “kuil haram” ketika merujuk rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Beliau ketika berucap di hadapan masyakat India dalam Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam tadi mendakwa istilah berkenaan adalah satu kesilapan.
Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, Perdana Menteri dengan jelas telah mengemukakan satu permohonan maaf yang jujur, penuh tanggungjawab dan ikhlas.
Menurut beliau, ia satu sifat yang layak dimiliki oleh seorang negarawan sejati serta wajar menerima pujian.
“Ini jelas menunjukkan Anwar menyedari dan menghargai sokongan padu masyarakat India terhadap gerakan “reformasi” beliau pada masa lalu yang akhirnya membawa kepada pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri negara ini,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Rsn Rayer



