Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membentangkan laporan lengkap kepada Parlimen berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery yang dipercayai mengakibatkan kerugian kira-kira RM200 juta.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Omar Mustapha berkata, laporan itu perlu merangkumi keseluruhan proses kelulusan pelaburan, penilaian risiko, hasil semakan dalaman, usaha mendapatkan semula aset serta pembaharuan tadbir urus yang telah dilaksanakan.
Menurut beliau, perkara itu wajar dibentangkan dalam persidangan Parlimen pada Oktober ini bagi memastikan rakyat, khususnya penjawat awam, memperoleh penjelasan menyeluruh mengenai nasib dana persaraan mereka.
“RM200 juta bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia ialah wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara.
“Dalam mengurus amanah sebesar ini, prosedur adalah perlu, tetapi prosedur sahaja tidak memadai.
“Yang akhirnya menentukan keyakinan rakyat ialah sama ada wujud ketelusan, akauntabiliti dan kesediaan untuk mempertanggungjawabkan setiap keputusan yang melibatkan wang persaraan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan KWAP mengalami kerugian kira-kira RM200 juta selepas didakwa diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan eFishery.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menjelaskan bahawa keputusan pelaburan tersebut dibuat selepas melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ketat berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, maklumat berkenaan turut merangkumi penyata kewangan yang disahkan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.
Menurutnya, konsortium pelabur termasuk KWAP juga melaksanakan proses usaha wajar atau due diligence secara bebas bagi memastikan maklumat yang dikemukakan adalah lengkap dan sahih sebelum keputusan pelaburan dibuat.
Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Omar bagaimanapun berkata, pematuhan terhadap prosedur semata-mata tidak seharusnya menutup keperluan untuk mengenal pasti kelemahan pengawasan dan pengurusan risiko yang membolehkan kerugian sebesar itu berlaku.
Katanya, pelaburan bernilai AS$47.7 juta atau kira-kira RM200 juta itu dibuat pada Julai 2023 ketika portfolio Menteri Kewangan dipegang sendiri oleh Perdana Menteri.
“Tiada siapa mengatakan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap penipuan yang dilakukan oleh pengurusan eFishery.
“Namun sebagai Menteri Kewangan ketika keputusan pelaburan dibuat, beliau bertanggungjawab sebagai menteri memastikan institusi di bawah kementeriannya mempunyai sistem tadbir urus, pengurusan risiko dan pengawasan yang benar-benar berkesan.
“Oleh itu, rakyat berhak mendapat jawapan yang lebih menyeluruh daripada sekadar kenyataan bahawa semua prosedur telah dipatuhi,” katanya.
Dakwaan Penyelewengan Kewangan
Kontroversi eFishery tercetus selepas syarikat itu menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gibran Huzaifah serta Ketua Pegawai Produk, Chrisna Aditya sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan penyelewengan kewangan.
Gibran dan Chrisna dilaporkan masing-masing memiliki kira-kira sembilan peratus saham dalam syarikat tersebut.
Siasatan awal yang diarahkan oleh lembaga pengarah eFishery dilaporkan mengesan kemungkinan hasil pendapatan syarikat itu telah dilebih-lebihkan hampir AS$600 juta bagi tempoh sembilan bulan sehingga September 2024.
Syarikat itu juga didakwa memaklumkan kepada pelabur bahawa ia memperoleh keuntungan AS$16 juta bagi sembilan bulan pertama 2024, sedangkan siasatan mendapati eFishery sebenarnya mencatatkan kerugian AS$35.4 juta.
eFishery diasaskan oleh Gibran dan Chrisna pada 2013 sebelum berkembang sehingga mencapai penilaian AS$1.4 bilion.
Pada 2023, syarikat itu memperoleh AS$200 juta menerusi pusingan pembiayaan Siri D, sekali gus menjadikannya antara syarikat berstatus unicorn di Indonesia.
Daripada jumlah tersebut, AS$47.7 juta dilaporkan merupakan pelaburan KWAP.
Pelabur lain dalam eFishery termasuk SoftBank Group Corp dari Jepun, Temasek dari Singapura serta Aqua-Spark yang dilaporkan menjadi pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.-MYNEWSHUB


