JELEBU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi jaminan gandingan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mentadbir kerajaan negeri dengan baik serta adil untuk seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan agama.
Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN DUN Pertang malam tadi, beliau menegaskan tiada sebab untuk masyarakat bukan Melayu berasa khuatir dengan gandingan BN-PN hanya kerana ditakut-takutkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang memainkan naratif perkauman.
“Ada orang beritahu sekarang ini BN telah berganding bahu dengan PN yang di dalamnya ada PAS. Saya nak beri jaminan kepada semua rakyat, khususnya masyarakat bukan Islam di negeri yang bertuah ini, dengan gandingan BN dan PN yang ada PAS di dalamnya, kita akan menjadi pentadbir kerajaan negeri yang baik dan adil untuk semua rakyat.
“Tidak ada masalah perkauman, tidak ada masalah yang boleh ditimbulkan untuk mengenepikan mana-mana kaum. Rakan-rakan dari MCA, MIC serta masyarakat Cina, India dan Orang Asli di DUN Pertang serta Parlimen Jelebu tahu apa yang saya lakukan untuk semua masyarakat,” katanya.
Jalaluddin turut mengingatkan bahawa Negeri Sembilan tidak pernah berdepan isu membabitkan institusi adat, kedaulatan Raja-Raja Melayu atau perkauman sepanjang berpuluh-puluh tahun ditadbir kerajaan BN dengan masyarakatnya hidup sebagai sebuah keluarga besar.
Bagaimanapun, katanya, keadaan berubah apabila negeri itu ditadbir kerajaan pimpinan PH yang gagal mengurus tadbir negeri dengan baik sehingga menyaksikan DUN dibubarkan.
“Saya sebut ini supaya semua faham kerana PH mengeluarkan fitnah dan fakta yang tidak betul sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu, India dan Cina untuk rakyat hilang keyakinan terhadap BN memimpin kerajaan negeri.
“Jadi kita nak beri peringatan kepada PH, jangan guna isu perkauman dan jangan guna isu berkaitan institusi untuk menanam rasa benci dalam kalangan rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB


