JELEBU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyarankan Pakatan Harapan (PH) membaca manifesto Barisan Nasional (BN) secara teliti sebelum membuat tuduhan yang tidak betul.
Beliau menegaskan dakyah PH konon BN ‘copy paste’ (meniru) manifesto mereka sama sekali tidak benar, sebaliknya manifesto BN dirangka secara realistik berdasarkan pengalaman panjang BN mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini.
“Belum ada sejarah kita buat manifesto berlandaskan manifesto pihak lawan apatah lagi manifesto PH. Jadi saya nak bagitahu kepada pihak PH baca dan teliti dahulu manifesto BN ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menjawab soalan tambahan pemberita, Jalaluddin berkata, beliau tidak berhasrat mengulas tentang manifesto PH, namun ada perkara yang menimbulkan persoalan.
Menurut beliau, program Malaysian Vision Valley (MVV) merupakan inisiatif yang telah dirangka dan dilancarkan oleh kerajaan BN sejak 2017.
Kata beliau, ia bermula ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Katanya, MVV diwujudkan bagi menjana aktiviti ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Negeri Sembilan selain merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan nilai ekonomi yang diunjurkan mencecah RM229 bilion.
“Ini merupakan program BN yang telah kita rangka dengan begitu rapi. Namun, terdapat pula elemen tersebut dalam manifesto PH saya tidak mahu memberi banyak komen.
“Asalkan ia memberi kepentingan kepada negeri, saya terima dengan baik. Itu pandangan saya,” katanya.
Bagi beliau, perkara paling penting BN apabila diberikan mandat untuk mentadbir Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti sudah mempunyai platform dan landasan yang telah dirangka.
“Ia menerusi kerangka pembangunan jangka pendek serta jangka panjang bagi memastikan kepentingan negeri terus diberi keutamaan,” katanya. – MYNEWSHUB


