JELEBU – Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya mendakwa segala pencapaian kerajaan Negeri Sembilan sejak beberapa tahun lalu adalah hasil kepimpinan mereka semata-mata.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, PH perlu bersikap jujur kepada para pengundi ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, PH harus mengakui sebahagian kejayaan kerajaan negeri disumbangkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) sepanjang pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) daripada BN memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri sepanjang tempoh tersebut.
“Apa yang kita jaga, usaha serta pemikiran yang kita berikan kepada kerajaan negeri merupakan sumbangan besar kepada kejayaan yang dicipta untuk rakyat di Negeri Sembilan.
“Sumbangan BN tidak boleh dinafikan kerana manifesto yang kita draf dan lakukan pada tahun 2023 itu merupakan manifesto yang dihasilkan oleh BN,” katanya ketika ditemui Mynewshub di sini hari ini.
Beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang dalam PRN Negeri Sembilan.
Jalaluddin turut mengingatkan PH agar tidak memutarbelitkan fakta sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya menyampaikan perkara yang benar kepada rakyat.
Beliau berkata, rakyat mengetahui perjalanan sebenar pentadbiran kerajaan negeri, termasuk pelbagai cabaran dan krisis yang berlaku sepanjang tempoh Kerajaan Perpaduan mentadbir Negeri Sembilan.
“Kalau tidak, tidak akan berlaku pelbagai krisis dan juga keadaan kucar-kacir yang diketahui rakyat berlaku dalam kerajaan (negeri),” katanya. – MYNEWSHUB


