JELEBU – “Insya-Allah kita akan memikul amanah ini dan membawa rakyat ke arah satu hala tuju yang boleh menyelesaikan, kalau pun tidak sepenuhnya, tetapi sebahagian besar daripada masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekarang”
Demikian iltizam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berhubung masa depan Negeri Sembilan sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memimpin negeri ini bersama rakan-rakan politiknya bermula 1 Ogos ini.
Jalaluddin yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan bukan semata-mata untuk membentuk kerajaan baharu, tetapi demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan perubahan dilakukan untuk masa depan mereka.
Menurut beliau, majoriti masyarakat Negeri Sembilan menyatakan mereka berasa bertekan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu baik, manakala kos sara hidup yang semakin menghimpit kehidupan mereka.
“Mereka mempunyai harapan yang besar kepada BN untuk memimpin Negeri Sembilan. Mereka melahirkan sepenuh harapan untuk sebuah kepimpinan yang mempunyai hala tuju dan berpengalaman mengurus kerajaan sejak puluhan tahun lalu.
“Jadi ini bukan semata-mata bagi memenangi pilihan raya, tetapi memenangi dan mengisi keperluan rakyat, kehendak rakyat daripada pelbagai kaum lapisan golongan umur untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya di sini semalam
Terdahulu, Jalaluddin berkata, beliau mendengar banyak permintaan rakyat Negeri Sembilan yang mahukan sebuah kerajaan baharu yang akan memikirkan soal ekonomi rakyat.
Menurut beliau, masyarakat Negeri Sembilan berbilang bangsa dan agama serta peringkat umur malah menyatakan pengharapan supaya negeri ini kembali dipimpin oleh BN.
“Saya fikir ini adalah merupakan suara akar umbi yang perlu saya perjuangkan untuk mereka selepas 1 Ogos,” katanya. – MYNEWSHUB


