IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penurunan harga petrol RON95 antaranya kerana jasa rakyat Tambun memilih beliau sebagai wakil rakyat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, atas jasa pengundi Tambun beliau kini menjadi Perdana Menteri dan harga diesel turut berjaya diturunkan.
“Alhamdulillah, rakyat-rakyat Tambun ini, tuan-tuan pilih wakil rakyat. Wakil rakyat itu jadi Ahli Parlimen, Ahli Parlimen jadi Perdana Menteri.
“Minyak RON95 turun (kepada) RM1.99 (seliter). Ini harga minyak yang paling rendah di dunia. Jasa siapa? Jasa rakyat Tambun, pengundi Tambun yang pilih.
“Diesel kalau tengok seluruh rantau nak dapat pun tak mudah. Tapi Alhamdulillah, Ahli Parlimen Tambun ikhtiar dengan kawan-kawan lain dan kita turunkan harga diesel RM2.10,” katanya pada Program Madani Kita hari ini. – MYNEWSHUB


