JOHOR BAHRU – Laman Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Johor supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari ini.
Menurut laman Facebook tersebut, setiap undi rakyat Johor adalah penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri Johor untuk lima tahun akan datang.
“Kawan-kawan di Johor yang masih belum mengundi, tunaikanlah tanggungjawab anda hari ini.
“Undi anda akan menentukan hala tuju dan masa depan negeri Johor untuk lima tahun akan datang. Peluang ini hanya datang sekali dalam tempoh lima tahun,” kata laman Facebook Najib Razak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi satu hantaran memaklumkan, peratus keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 setakat pukul 1 tengah hari ini mencecah 42.16 peratus.
Seramai 1,130,980 daripada keseluruhan 2,682,642 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab
masing-masing. – MYNEWSHUB


