JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor tampil menjawab kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan Johor tidak memberi perhatian kepada kebajikan dan penyelenggaraan rumah rakyat.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan, khususnya melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Sewa Kerajaan (RSK) serta skim perumahan strata atau flat awam yang diuruskan di negeri ini.
Mohd Jafni menjelaskan bahawa sekiranya yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri adalah PPR dan RSK, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM122 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Peruntukan itu, katanya, melibatkan 13 lokasi PPR dan 7 lokasi RSK di seluruh negeri Johor.
Antara skop kerja yang dilaksanakan termasuk kerja mengecat keseluruhan blok bangunan, menggantikan dan membaik pulih lif, membaiki sistem paip air dan sistem kumbahan, menaik taraf jalan dalaman, longkang serta kawasan parkir.
Selain itu, kerja naik taraf turut melibatkan pemasangan CCTV, lampu jalan, pagar keselamatan, serta penambahbaikan kemudahan komuniti seperti surau, dewan komuniti dan taman permainan.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut melibatkan kawasan seperti Segamat, Rumah Pangsa Pontian, RSK Kluang, RSK Larkin, PPR Uda Utama, PPR Melana Indah Fasa II, Rumah Pangsa Penggaram Batu Pahat, PPR Desa Mutiara, PPR Kempas dan RSK Taman Cendana.
Keseluruhan pelaksanaan itu melibatkan kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan RSK yang memberi manfaat kepada hampir 60,000 penduduk di seluruh negeri Johor.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata isu kutipan sewaan turut menunjukkan peningkatan ketara hasil penambahbaikan sistem pengurusan perumahan negeri, termasuk peranan agensi berkaitan seperti PKPJ.
Menurutnya, sebelum ini kadar kutipan sewaan berada pada tahap rendah iaitu di bawah 40 peratus, namun kini menunjukkan peningkatan berterusan.
Katanya, kutipan sewaan PPR dan RSK Johor meningkat daripada sekitar RM6.9 juta pada tahun 2022, kepada RM24.9 juta pada 2023, seterusnya RM26.4 juta pada 2024, dan meningkat lagi kepada RM28.4 juta pada 2025.
Beliau menjelaskan bahawa hasil kutipan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf perumahan awam di seluruh negeri.
Selain itu, Mohd Jafni turut menyentuh isu flat awam atau skim perumahan strata yang diuruskan oleh badan pengurusan bersama (JMB), dengan menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak berdiam diri dalam aspek tersebut.
Ujarnya, Johor telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja menaik taraf 76 skim flat awam melibatkan 236 blok dan 11,693 unit kediaman di bawah kawasan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.
Antara lokasi yang terlibat termasuk Rumah Pangsa Taman Cempaka, Taman Impian Mas, Pangsapuri Seri Intan, Temenggong Kulai, Desa Muafakat, Taman Seri Perdana, Seri Delima, Permata Impian Kulai, Taman Seri Orkid, Taman Rinting, Jalan Cengal serta Flat Jalan Kasawari, Air Biru dan beberapa kawasan lain.
Mengulas keseluruhan isu tersebut, beliau mengakui masih terdapat beberapa perkara yang belum selesai sepenuhnya, namun menegaskan kerajaan negeri sentiasa berusaha memperbaiki keadaan secara berfasa.
“Johor bukan duduk diam,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai kerja naik taraf dan penyelenggaraan demi keselesaan rakyat.
Secara keseluruhan, beliau menegaskan Johor telah memperuntukkan sekitar RM122 juta bagi PPR dan RSK serta RM50 juta bagi skim flat awam, menjadikan usaha naik taraf perumahan rakyat dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh di negeri ini. – MYNEWSHUB


