SEREMBAN – “Bagi orang Melayu apa pun nama pakatan ini, itu tidak menjadi masalah. Yang lebih utama tidak berlaku pertembungan. Jadi senang untuk pengundi Melayu memilih”
Demikian ulasan Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya berhubung kesepakatan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Bagi beliau, kenyataan Timbalan Pengerusi BN bahawa BN tidak membuat gabungan baharu bersama PN, sebaliknya hanya membentuk persefahaman mudah difahami oleh rakyat iaitu untuk mengelakkan perpecahan undi.
“Rakyat faham bukan senang untuk bergabung kerana masing-masing ada idealisme tersendiri. Tapi cukuplah sekadar berpakat dahulu. Tidak perlu terburu-buru. Insya-Allah akan ada natijah yang pastinya lebih baik.
“Rakyat yakin untuk capai satu pemuafakatan juga bukan mudah, tetapi realiti yang berlaku hari ini mendesak kepada pemuafakatan. Yang penting kedua-dunya mempunyai musuh yang sama iaitu DAP,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mencadangkan kerjasama antara PN dan BN menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN)
Pemimpin BN namun menolak cadangan tersebut dengan menjelaskan BN tidak berhasrat untuk membentuk gabungan baharu, sebaliknya menjalin persefahaman dengan PN untuk mengelak undi rakyat berpecah.
“Ramai juga yang skeptikal dengan muafakat ini. Itu perkara biasa. Mungkin kerana mereka dengki dan mungkin juga mereka tidak faham. Jadi biarkanlah. Doa kita agar muafakat ini di teruskan sehingga PRU16,” katanya. – MYNEWSHUB


